Penggunaan sihir semakin menjadi-jadi - Utusan Malaysia

Penggunaan sihir semakin menjadi-jadi

PELAKSANAAN undang-undang jenayah sihir di seluruh negara bertujuan mengekang fenomena ilmu hitam itu daripada terus memporak-perandakan kehidupan masyarakat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TAHUN lepas, Terengganu meluluskan beberapa enakmen termasuk mengenai perbomohan dan sihir. Langkah ini harus disokong dan diikuti oleh negeri-negeri lain.

Kerajaan diminta mengambil langkah proaktif bagi menyegerakan pelaksanaan undang-undang jenayah sihir di seluruh negara bertujuan mengekang fenomena ilmu hitam itu daripada terus memporak-perandakan kehidupan masyarakat.

Unsur ilmu hitam dilaporkan berlaku dalam kalangan peniaga, pasangan suami isteri, artis, ahli politik, tokoh korporat dan tidak terkecuali murid dan ahli akademik di universiti.

Malah ada juga penipu atau individu tidak bertanggungjawab menggunakan pukau untuk mendapatkan keuntungan kewangan.

Malah, di zaman ini sudah pun wujud kes bomoh menipu pesakit demi menyelesaikan hutang peribadi yang tertunggak.

Saya tertarik dengan komen Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan Islam (Accin), Ab. Razak Mahadi baru-baru ini bahawa undang-undang jenayah sihir perlu diwujudkan khususnya bagi membela mangsa yang teraniaya kesan perbuatan ilmu hitam.

Menurutnya, walaupun ilmu sihir tidak dapat dilihat mata kasar, namun ia masih boleh dibuktikan melalui kaedah forensik, kepakaran pihak berkuasa dan juga pengesahan daripada pengamal perubatan Islam bertauliah.

Namun, menurut beliau, ia dilihat masih sukar untuk dibuktikan terutama untuk dibawa ke mahkamah. Perkara ini boleh diatasi dengan penggubalan undang-undang jenayah sihir dengan segera berserta kaedah-kaedah penyiasatan dan pembuktian.

Beliau juga mengatakan jika undang-undang jenayah sihir ini dapat diwujudkan, ia mampu menyelamatkan akidah umat Islam.

Pengamal atau pengupah sihir pula makin seronok melakukan sihir kerana beranggapan perbuatan ini sukar dikesan atau dibuktikan.

Kesukaran pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas mereka untuk didakwa datang dari pelbagai faktor seperti kekangan undang-undang.

Perbincangan boleh diwujudkan secara berterusan berserta tindakan di antara pihak berkuasa daripada penggubal undan-gundang, polis, ahli agama Islam dan juga pengamal perubatan Islam.

Malaysia boleh belajar dari negara-negara yang telah mewujudkan undang-undang sihir ini untuk mengetahui kelemahan atau penambahbaikan yang telah dibuat terutama dari sudut undang-undang dan pelaksanaan.

Gunakan kelebihan media sosial untuk menyebarkan fakta pada orang ramai mengenai keburukan sihir. Tindakan tegas juga perlu diambil pada mereka yang didapati melakukan sihir kerana ia menyebabkan mangsa menanggung derita.

Ada mangsa yang terkena sihir sering bersengketa dengan pasangan, keluarga dan rakan sehingga menyebabkan berlaku penderitaan, kesakitan, perceraian dan kematian.

Takdir Allah SWT adalah suatu yang tidak boleh dina­fikan, namun kesalahan kegiatan sihir ini perlu diambil berat dan dibanteras demi kemaslahatan ramai.

Sihir adalah suatu cabang ilmu yang haram untuk dipelajari kerana ia tidak mempunyai apa-apa kebaikan malah mendatangkan kemudaratan pada yang terlibat sama ada mempelajari atau mengamal ilmu tersebut. Bagi yang terlibat melakukan sihir, tiada siapa yang sempurna di dunia ini.

Maka perlu difahamkan, tiada siapa juga dapat menghalang taubatmu kerana Allah SWT Maha Pemurah dan Maha Pengampun, sehingga Dia tidak akan menolak menutup pintu keampunan-Nya pada mana-mana hamba yang ikhlas mengalirkan air mata memohon belas kasihan.

Juga hanya kemaafan yang ikhlas daripada pihak yang dizalimi mampu menyelamatkan di dunia mahupun di akhirat nanti. – UTUSAN

YANG FAQIR, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya