SAUDARA PENGARANG,
SEPERTI semua tahu, saya telah menghasilkan buku bertajuk Mutiara Kata Alam Melayu bertujuan menyedarkan anak bangsa bahawa mereka mempunyai sastera yang tinggi.
Buku ini mengandungi 101 kata-kata mutiara terpancar daripada kearifan dunia Melayu selama 1,000 tahun lampau.
Terdapat petikan daripada makyung, wayang kulit dan peribahasa menunjukkan kehebatan pemikir dunia Melayu yang kian hilang dari korpus memori masyarakat.
Daripada bait-bait ungkapan indah kata pujangga dan tokoh-tokoh seantero Nusantara, ke peribahasa dan bidalan lama dan bicara kata bestari terdahulu, buku ini diharapkan dapat memberi ilham kepada semua pembacanya untuk menghargai ilmu dan pemikiran yang membuktikan tamadun Melayu gemilang.
Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan di Malaysia dan juga Brunei, Indonesia (bahasa Indonesia), Singapura dan digunakan di beberapa negara Asia Tenggara lain.
Warisan bangsa ini tersurat dalam lebih 10,000 manuskrip menjadi khazanah di lebih 150 muzium dan perpustakaan tersohor dunia di Malaysia, Indonesia, Belanda dan Russia, tidak kurang 60 negara serata dunia.
Oleh itu, kenapakah kita masih tidak mencari ilham daripada kata-kata semangat yang dituturkan oleh nenek moyang dan pemimpin kita terdahulu?
Kerap kali kita mendengar ucaptama dan pidato di majlis formal serta di universiti tempatan memetik kata-kata ilmiah dari dunia Barat, tamadun China dan lain-lain sebagai ilham dan aspirasi, membelakangkan petikan dari dunia Melayu.
Ini tidak bermakna kita menidakkan ilmu serta ilham daripada ahli bijak pandai seluruh dunia.
Buku terbabit boleh dibeli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia yang berlangsung dari 26 Mei hingga 4 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). – UTUSAN
NINOT AZIZ, Pengarang & penulis