Pelajar atlet perlu ada pengetahuan teknikal

Pelajar atlet perlu ada pengetahuan teknikal

BIDANG teknikal menawarkan laluan kerjaya stabil dengan potensi pendapatan lebih tinggi berbanding sukan yang berpaksikan faktor umur, prestasi dan kesihatan fizikal atlet.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SENARIO di negara ini menunjukkan kebanyakan pelajar atlet cenderung untuk menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi dalam bidang sains sukan sebagai pilihan bagi memastikan mereka dapat mengekalkan prestasi sukan masing-masing.

Bagaimanapun, peluang kerjaya dalam bidang sains sukan dilihat agak terlalu tipis pada masa kini disebabkan keadaan semasa yang memerlukan graduan lebih kompeten dalam bidang teknikal.

Di Malaysia, bidang teknikal seperti kejuruteraan, sains komputer dan teknologi maklumat mendapat permintaan tinggi dan banyak menawarkan peluang kerjaya.

Ia sekali gus dapat membantu pelajar atlet dalam pemilihan kerjaya seusai apabila mereka bersara daripada sukan.

Selain itu, bidang teknikal dapat membantu mereka melengkapkan pengetahuan teknikal bagi tujuan latihan dan prestasi pelajar atlet. Sebagai contoh, seorang atlet yang menyambung pelajaran dalam kejuruteraan mekanikal boleh mengaplikasikan pengetahuannya untuk membangunkan peralatan latihan lebih berkesan atau meningkatkan prestasi mereka dengan memahami mekanik di sebalik sukan diceburi.

Begitu juga pelajar atlet yang mengambil jurusan sains komputer boleh menggunakan kemahiran mereka untuk membangunkan program latihan dan menganalisis data prestasi bagi meningkatkan kemahiran dan strategi dalam sukan diceburi.

Manfaat lain dalam mengejar bidang teknikal adalah potensi untuk kestabilan kerjaya. Bidang teknikal menawarkan laluan kerjaya yang stabil dengan potensi pendapatan lebih tinggi berbeza dengan kerjaya melalui sukan berpaksikan faktor umur, prestasi dan kesihatan fizikal atlet.

Bagaimanapun, sebagai pelajar atlet yang ingin menyambung pengajian dalam bidang teknikal, mereka perlu melalui cabaran dan kekangan sebagai seorang pelajar dan juga atlet. Disiplin dan kemahiran menguruskan masa amat diperlukan untuk menyeimbangkan bebanan akademik dan sukan.

Selain itu, peranan institusi penting dalam memastikan sistem sokongan yang komprehensif bagi membantu golongan ini.

Pelajar atlet juga perlu bersifat proaktif dalam mencari peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan teknikal mereka ke dalam kerjaya sukan kerana ia mampu memberikan pengeluaran yang memberikan kebaikan kepada pembangunan akademik dan sukan.-UTUSAN

DR. MOHD ZULFADLI ROZALI
Fakulti Pendidikan Teknikal & Vokasional
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN