SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan peralihan daripada pemborong rangkaian tunggal 5G kepada pemborong dwirangkaian yang akan bermula apabila liputan 5G yang sedang dilaksana Digital Nasional Berhad (DNB) mencapai tahap 80 peratus kawasan berpenduduk negara.
Sasaran itu dijangka dicapai pada hujung tahun ini, bermakna pemborong kedua bakal dilantik seawal Januari 2024 sekali gus mengesahkan laporan beberapa media massa mengenai perkara itu sebelum ini.
Fahmi pada sidang akhbar itu juga menegaskan yang Malaysia akan menghormati kontrak DNB bersama syarikat penyedia teknologi, Ericsson untuk melaksanakan rangkaian 5G pertama tetapi untuk rangkaian kedua, ia akan melibatkan entiti B dan pasaran bebas.
Ditanya tentang kemungkinan syarikat penyedia teknologi dari China, Huawei akan turut melobi untuk terlibat dalam pelaksanaan 5G di Malaysia, Fahmi berkata, ia terpulang kepada entiti B untuk mempertimbangkan perkara itu.
Sebelum ini, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat dalam sepucuk surat dihantar kepada kerajaan Malaysia memberi amaran tentang risiko pengintipan melibatkan syarikat dari China termasuk Huawei dalam pelaksanaan rangkaian 5G negara.
Untuk rekod, entiti B yang akan melaksanakan rangkaian 5G kedua akan terdiri daripada syarikat-syarikat telekomunikasi.
Kebenaran diberikan kerajaan bemaksud syarikat telekomunikasi dibenarkan untuk membentuk konsortium yang akan membekalkan rangkaian 5G mereka sendiri untuk bersaing dengan DNB, seterusnya memecahkan monopoli.
Situasi yang wujud kini adalah antara kebimbangan yang pernah disuarakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Ralph Marshall yang menyatakan DNB dalam situasinya sekarang tidak akan mampu bersaing dengan pembekal kedua yang terdiri daripada syarikat telekomunikasi.
Langkah terbaharu kerajaan ini akan mewujudkan pemonopoli baharu dalam pelaksanaan rangkaian 5G negara. – UTUSAN
RAKYAT BIMBANG, Kuala Lumpur