Kita dan Portugis ke mana arahnya?

Kita dan Portugis ke mana arahnya?

KEDATANGAN Portugal ke negara ini membuka banyak peluang untuk kerjasama sama ada dari segi ekonomi, pendidikan mahu pun sukan.-MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Dari segi sejarah, kontak pertama Malaysia atau secara khususnya Melaka dengan Eropah bermula pada abad ke-15. Pada 1511, Portugal berjaya menduduki dan menguasai Melaka serta kawasan sekitarnya. Hasil peninggalan daripada penjajahan inilah terbinanya monumen kota A Famosa yang telah membentuk identiti serta simbol bagi Melaka yang masih utuh hingga ke hari ini.

Apa yang menjadi persoalan ialah tiada hubungan dua hala yang jelas antara Malaysia dan Portugal walaupun wujud komuniti Portugis Melaka. Kerjasama terdahulu yang pernah direkodkan pada 20 September 1996 oleh Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Portugal, Dr. Jorge Sampaio serta Perdana Menteri, Antonio Guterres. Lawatan rasmi tiga hari tersebut antara lain bertujuan untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

Selepas tarikh tersebut, tiada lawatan rasmi dan hubungan kerjasama yang wujud antara kedua-dua negara. Tambahan pula, ketiadaan kedutaan mahupun konsulat di kedua-dua buah negara ini sedikit sebanyak mengurangkan keakraban hubungan antara kedua-dua negara.

Dari segi ekonomi, terdapat hubungan perdagangan antara kedua-dua negara. Menurut perangkaan Jabatan Statistik pada 2020, jumlah nilai dagangan antara kedua-dua negara bernilai USD257.5 juta. Perangkaan 2021 pula menyatakan jumlah import adalah sebanyak RM171,842, eksport (RM389,997) dan imbangan dagangan (RM218,155). Jumlah ini berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Hubungan sedia ada perlu diperkukuhkan, sekurang-kurangnya kerjasama dari segi pendidikan, bahasa dan budaya yang boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua negara seperti hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 30 Januari lalu yang mahu mempelbagaikan destinasi latihan ijazah tinggi seperti Thailand, Indonesia, India, Iran, Arab Saudi, Turkiye, negara- negara Scandinavia, German, Perancis dan Portugal.

Malaysia seharusnya membuka pintu kerjasama lebih luas agar kita dapat meneroka bidang pelancongan di Portugal yang kaya dengan bangunan-bangunan bersejarah. Bagi pihak Malaysia pula, kita boleh mempromosikan kekayaan alam semula jadi dari segi flora dan fauna selain mengetengahkan kekayaan budaya dan masyarakat sesuai dengan slogan pelancongan, Malaysia: Truly Asia.

Selain itu, perlu juga tingkat kerjasama untuk menggilap potensi sukan anak muda harus agar terus mampan di negara kelahiran Cristiano Ronaldo. Pemain Portugal pula harus dijemput sama ada secara kontrak ataupun pinjaman sebagai hubungan timbal balik kedua-dua negara.-UTUSAN

JAMIAN MOHAMAD
Fakulti Bahasa dan Linguistik,
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya