SAUDARA PENGARANG,
BAGI mereka yang sudah biasa dengan jumlah trafik tinggi di musim perayaan, perkara ini dianggap lumrah. Namun, apa yang mengecewakan mereka adalah masalah sama yang sering dihadapi ketika berurusan di plaza tol.
Masalah itu melibatkan kegagalan alat pengesan membaca sensor pada pelekat cip Touch ‘n Go, Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan SmartTAG.
Pemandu terbabit terpaksa mengundurkan kenderaan sehingga kedudukan sensor tepat untuk melakukan transaksi potongan wang. Ada pemandu yang terpaksa mengundur dan bergerak ke hadapan beberapa kali sehingga berjaya.
Sekiranya masih gagal, pemandu terpaksa mengundur dan menukar laluan ke lorong bersebelahan. Bayangkan kesusahan yang timbul apabila keadaan sebegini berlaku ketika deretan kereta lain sudah menghampiri lorong plaza tol.
Mengundurkan kenderaan di dalam keadaan panik boleh mendatangkan risiko kemalangan apabila belakang kereta mungkin terlanggar binaan lorong di sebelah tepi dan juga pelanggaran dengan kenderaan lain akibat menukar lorong.
Tambah mencabar kesabaran pengguna jalan raya lain, apabila ada pula pemandu kenderaan yang terlupa menambah nilai kredit pada kad Touch ‘n Go mereka. Di samping itu, kegagalan pemandu mengenal pasti laluan sepatutnya untuk memasuki lorong plaza tol turut merencatkan kelancaran di lebuh raya.
Antara penyelesaian praktikal yang boleh dilaksanakan segera khususnya berkaitan pembaca sensor adalah dengan membuat kerja pembaikan dan kalibrasi semula terhadap pembaca sensor sedia ada.
Jumlah pembaca sensor untuk setiap lorong harus ditambah, khususnya di bahagian sisi lorong, bukan hanya mengharapkan sensor utama yang sering diletakkan di bahagian atas.
Operator plaza tol juga harus menyediakan pekerja tambahan untuk menangani masalah yang berkaitan dengan kegagalan pembacaan sensor dan masalah pemandu tidak mempunyai baki nilai mencukupi. Selain itu, bekalkan pekerja ini dengan gajet tambah nilai mudah alih.
Bahkan aktiviti tambah nilai atau jualan kad tambahan Touch ‘n Go boleh dijual dengan mewujudkan stesen sementara sebelum menghampiri plaza tol atau menyediakan mesin tambah nilai layan diri yang mencukupi di kawasan rehat dan rawat (R&R).
Selain itu, operator plaza tol harus memastikan pekerja tambahan mereka mempunyai kemahiran mengawal trafik sekiranya ada kenderaan perlu mengundur atau menukar lorong. Ini sudah pasti mengurangkan tekanan kepada pemandu lain.
Bagi mengatasi kekeliruan pemandu mengenal pasti lorong ketika menghampiri plaza tol, kon keselamatan atau penghadang laluan boleh disusun membentuk lorongan sementara dalam jarak minimum 100 meter menghampiri plaza tol
Perlu juga dicat garisan lorong dengan warna terang. Di samping itu, papan tanda pemberitahuan juga boleh ditegakkan untuk pemakluman lorong. – UTUSAN
DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam