SAUDARA PENGARANG,
RAMAI masih belum tahu kewujudan Princess Nourah Bint Abdulrahman University (PNU), iaitu sebuah universiti khusus untuk perempuan sahaja di Arab Saudi.
Ia terletak di tengah bandar raya Riyadh mampu menampung 50,000 orang pelajar dalam satu-satu masa. Universiti ini menawarkan pengajian di peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana.
PNU juga menawarkan pelbagai jenis bidang pengajian termasuk sains, farmasi, kejuruteraan, perniagaan, pendidikan dan bahasa.
Ia juga menyediakan biasiswa penuh kepada pelajar luar negara yang ditanggung kerajaan Arab Saudi. Apa yang menarik, pelajar tidak perlu membayar balik biasiswa jika gagal menghabiskan pengajian.
Seterusnya terdapat banyak kemudahan disediakan di PNU termasuk sebuah perpustakaan sangat besar, dua pusat sukan yang mempunyai pelbagai kemudahan dan alatan untuk senaman, kolam renang bersaiz Olimpik dan lain-lain.
Di samping itu, keistimewaan PNU adalah pelajar boleh berhias dan berdandan tanpa batas untuk ke kelas kerana seluruh kawasan kampus bebas daripada lelaki.
Keistimewaan lain ialah ia memberi perkhidmatan bersalin percuma kepada pelajar yang telah berkahwin di hospital universiti.
Disebabkan universiti ini untuk wanita sahaja, maka semua kakitangan yang bekerja dengannya adalah perempuan termasuklah pensyarah, pengawal keselamatan, juruteknik, warden asrama dan lain-lain.
Namun, terdapat juga pekerja lelaki yang mana pejabatnya di kawasan pentadbiran lelaki. Pekerja lelaki tidak dibenarkan masuk ke dalam universiti kecuali setelah mendapat keizinan.
Keunikan universiti ini yang tiada pada universiti-universiti di Malaysia ialah pelajar tidak perlu memakai tudung ketika berada di kawasan universiti dan kawasan khas untuk perempuan.
Bahkan di dalam kelas, pelajar dan pensyarah diwajibkan membuka tudung serta jubah kerana ia merupakan peraturan universiti. Mungkin universiti sedemikian boleh dibina di negara ini. – UTUSAN
HANI BALKIS MOHAMAD SAYUZI, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)