SAUDARA PENGARANG,
pengecas telefon bimbit, soket sambungan, kabel pendawaian dan palam kuasa adalah antara produk yang terdapat di pasaran terutama di kedai alat-alat telekomunikasi.
Produk seperti ini yang tidak mempunyai label SIRIM QAS International bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) (SIRIM-ST) adakalanya menjadi pilihan kerana harga yang ditawarkan lebih murah.
Namun, ramai yang tidak menyedari penggunaan kelengkapan elektrik tanpa kelulusan ST dan tidak berlabel SIRIM-ST berisiko tinggi untuk digunakan.
Justeru, sebagai pengguna yang bijak, kita hendaklah memastikan hanya kelengkapan elektrik yang mempunyai label SIRIM-ST atau tanda pensijilan SIRIM sahaja digunakan.
ST seringkali menekankan kepentingan penggunaan kelengkapan elektrik yang diluluskan dan mempunyai label SIRIM-ST. Ini kerana produk elektrik berkenaan sudah diuji dan diperiksa dari segi keselamatan mengikut standard keselamatan yang ditetapkan. Oleh itu, ia lebih selamat untuk digunakan berbanding dengan kelengkapan elektrik yang tidak diluluskan atau tidak mempunyai label yang sah.
Apabila menggunakan produk yang mempunyai kelulusan, ia dapat mengelakkan kemalangan kebakaran yang berpunca daripada kelengkapan elektrik yang boleh menyebabkan kecederaan dan mengundang maut.
Produk peralatan elektrik yang dikawal oleh ST perlu mendapat Perakuan Kelulusan (COA) daripada ST dan menjalani ujian serta pensijilan oleh SIRIM sebelum dijual.
Peralatan elektrik yang telah diluluskan hendaklah dilekatkan dengan label SIRIM-ST atau mempunyai tanda pensijilan SIRIM.
ST dari semasa ke semasa menjalankan penguatkuasaan bagi memantau penjualan kelengkapan elektrik yang tidak diluluskan dan difahamkan pasukan penguatkuasa berjaya merampas 7,000 peralatan elektrik terkawal yang tidak mempunyai COA dan label SIRIM-ST dengan nilai pasaran berjumlah lebih RM150,000 dalam satu serbuan.
ST menetapkan 34 kategori peralatan elektrik dan elektronik yang mesti diuji serta diperakui mengikut piawaian yang ditetapkan termasuk peti ais, periuk nasi, cerek elektrik, penggoreng udara dan ketuhar gelombang mikro.
Selain itu, masyarakat juga dinasihatkan agar berhati-hati dengan penyalahgunaan atau pemalsuan label SIRIM-ST oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Pengguna boleh menyemak dengan mudah produk yang dibeli secara dalam talian atau di kedai sama ada ia sudah mendapat perakuan daripada SIRIM dengan memasukkan maklumat produk ke dalam aplikasi mudah alih SIRIM QAS International.-UTUSAN
BULBIR SINGH
Bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan