SAUDARA PENGARANG,
LIGA Super sudah sampai penghujung pusingan pertama. Persaingan nampaknya semakin sengit, cuma kedudukan teratas sahaja nampaknya masih lagi didominasi oleh pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pun begitu, saya melihat sikap negatif pemilik kelab yang sentiasa berasa dirinya hebat dan suka memperlekehkan kelab lain.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai peneraju bola sepak di Malaysia hendaklah sentiasa bersikap adil melayan semua kelab. Mana-mana yang secara terang-terangan melanggar peraturan patut dikenakan tindakan keras tanpa memikirkan apa status pemilik kelab itu.
Semua sudah maklum, ada penyokong sebuah kelab membakar suar di stadium sebanyak tiga kali, namun masih tiada tindakan dikenakan.
Pemilik kelab tersebut nampaknya cuba berdolak-dalik ingin mengelak membayar denda dan mengatakan mempunyai hutang tertunggak dan perlu tolak denda daripada hutang tersebut.
Sikap sebegini menampakkan betapa angkuh dan sombongnya dan saya mengharapkan FAM tidak perlu melayan karenah pemilik kelab tersebut yang sentiasa merasakan dirinya sahaja yang betul.
Individu tersebut baru- baru ini mencadangkan satu seminar khas pemilik dan ketua pegawai eksekutif (CEO) kelab bersama peminat bola sepak. Saya tidak nampak apa baiknya program ini. Bagi saya, ini semua membuang masa sahaja.
Janganlah kita sentiasa berasa hebat dan memandang rendah pihak lain kerana status yang kita pegang. Ingatlah, kedudukan kita yang sebenar sama sahaja di sisi Allah SWT.-UTUSAN
CIKGU JAMAL
Kuala Rompin, Pahang