Jaga batas aurat, pergaulan ketika Aidilfitri

Jaga batas aurat, pergaulan ketika Aidilfitri

PERGAULAN mesra antara ipar duai yang tidak dibatasi dengan syariat Islam boleh mencetuskan pelbagai syak wasangka.– UTUSAN /IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Dalam berkumpul bersama ahli keluarga sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri, satu perkara yang sering diabaikan malah dianggap biasa dan remeh oleh masyarakat ialah aurat dalam kalangan ipar-duai.

Dalam rumah, paling perlu dititikberatkan ialah pemakaian tudung dan baju berlengan panjang. Masyarakat kita ada yang hanya mengenakan tuala mandi untuk menutupi rambut, ada juga yang memakai baju berlengan pendek dan berseluar ketat.

Begitu juga bersentuhan untuk bersalam dengan ipar duai di hari raya. Sekiranya ipar duai ingin bersalam, tolak dengan cara baik dan tidak perlu malu untuk menolaknya hanya semata-mata untuk menjaga air mukanya. Jangan biasakan perbuatan yang jelas berdosa. Juga perlu menjaga bersekedudukan atau berdua-duaan di dalam rumah tanpa ditemani mahram yang lain.

Pergaulan mesra antara ipar duai yang tidak dibatasi dengan syariat Islam boleh mencetuskan pelbagai syak wasangka. Kesannya, berlaku banyak salah faham dan pergaduhan yang boleh merenggangkan hubungan antara adik beradik, antara suami dan isteri. Lebih buruk lagi, boleh menyebabkan keruntuhan institusi keluarga.

Walau bagaimanapun, menjaga hubungan baik dengan ipar sangat penting kerana mereka juga adalah sebahagian daripada keluarga besar.

Semoga dengan usaha ini, kita berterusan mendapat rahmat dari Allah SWT. Jangan jadikan hari raya sebagai hari yang seronok dan bergaya sahaja tetapi tidak menepati syariat. Syariat Islam datang tidak lain hanya bertujuan untuk membawa kebaikan kepada masyarakat. Ia bukan untuk menyusahkan dan membebankan kita.-UTUSAN

NUR FAEZAH MUSTHAPAR
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya