SAUDARA PENGARANG,
SEBELUM menawan Putrajaya, Pakatan Harapan (PH) pernah berjanji untuk menghapuskan amalan ‘membeli’ undi.
Ini termasuk amalan kerajaan terdahulu memberikan peruntukan besar-besaran menjelang pilihan raya untuk ‘membeli’ sokongan rakyat.
Tetapi PH nampaknya telah memungkiri janji-janji manis yang dibuat ketika masih di pihak pembangkang.
Dalam siri jelajah Rumah Terbuka Malaysia Madani di negeri-negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi, Kerajaan Persekutuan secara terang-terangan mengumumkan peruntukan berbilion ringgit di sana.
Di Kedah, Kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan RM1.6 bilion untuk pembangunan infrastruktur negeri tersebut.
Di Pulau Pinang, Kerajaan Persekutuan berjanji akan menampung kos pembinaan transit aliran ringan (LRT) bernilai berbilion ringgit.
Di Negeri Sembilan, Kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan RM1.27 bilion kepada pembangunan dan sosioekonomi negeri itu bagi menyelesaikan beberapa isu mendesak. Bukankah semua ini taktik meraih undi yang dikritik oleh PH ketika menjadi pembangkang?
Memperoleh sokongan rakyat seharusnya tidak dilakukan dengan cara membeli undi, tetapi dengan memperjuangkan kepentingan rakyat secara jujur dan telus.
Memperoleh sokongan pengundi melalui cara yang tidak sah dan tidak bermoral seperti itu akan merosakkan demokrasi negara dan mengkhianati kepercayaan rakyat kepada kerajaan.
Amalan membeli undi tidak hanya menjejaskan integriti pilihan raya tetapi juga kepercayaan rakyat terhadap sistem politik negara.
Rakyat harus yakin terhadap kerajaan untuk melaksanakan projek sosioekonomi berdasarkan keperluan, bukan kerana kehendak politik sempit sesetengah pihak.
Lebih teruk lagi apabila parti politik yang berjanji untuk melawan amalan membeli undi, mengamalkannya sendiri setelah menjadi kerajaan.
Ini menunjukkan janji politik tidak boleh dipercayai. Kerajaan juga tidak boleh menganaktirikan kebajikan pengundi-pengundi di negeri-negeri yang tidak akan mengadakan PRN. – UTUSAN
DANIEL MOHD. SHUKRI, Petaling Jaya