Hairan ahli politik keliru ejaan insya-Allah - Utusan Malaysia

Hairan ahli politik keliru ejaan insya-Allah

KAMUS keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah satu-satunya sumber yang wajib diikuti. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SALAH satu cara untuk kita memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan menggunakan ejaan yang betul dalam setiap penulisan. Saya selalu membaca ciapan daripada akaun Twitter para pemimpin negara dan ahli politik. Yang mahu diberi tumpuan ialah perkataan, insya-Allah.

Perkataan ini berasal daripada bahasa Arab, yang bermaksud sekiranya diizinkan Allah. Ungkapan ini biasanya diucapkan apabila seseorang itu memberi komitmen atau berjanji untuk melakukan atau melaksanakan sesuatu perkara atau kerja.

Perkataan ini telah lama berada dalam entri kamus-kamus keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) termasuk Kamus Dewan Perdana terbitan 2020 di muka surat 833.

Saya agak kecewa apabila membaca ciapan di akaun Twitter para anggota Kabinet termasuk Perdana Menteri dan timbalan-timbalan perdana menteri. Mereka menggunakan pelbagai ejaan lain seperti InsyaAllah, InshaAllah, Insha Allah dan Insya Allah.

Ejaan yang betul ialah Insya-Allah (ada sengkang) di awal ayat dan insya-Allah di pertengahan atau akhir ayat. Saya ada membuat teguran dengan memberikan maklum balas dalam akaun-akaun Twitter mereka, tetapi malangnya tidak dipedulikan.

Bercakap soal ejaan, kamus DBP adalah satu-satunya sumber yang wajib diikuti. Rakyat Malaysia perlu menghormati akan peranan DBP ini. Agensi kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan ini adalah sebuah badan perancangan bahasa.

Para pegawai DBP boleh memberikan nasihat dan bimbingan tentang penggunaan bahasa Melayu yang baik, betul dan indah. Pun begitu, badan ini masih belum lagi diberikan kuasa undang-undang untuk mengambil tindakan ke atas sesiapa sahaja yang enggan menggunakan bahasa Melayu dengan betul termasuk ejaan.

Selepas tersiarnya penulisan ini, adalah diharapkan agar semua orang menggunakan ejaan yang betul iaitu insya-Allah. – UTUSAN

HJ. KAMARUDDIN HASSAN, Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya