SAUDARA PENGARANG,
FIKIRKAN dua kali jika anda sedang mempertimbangkan untuk menggunakan visa pelancong bagi menunaikan haji atau mengambil kesempatan tinggal lebih lama di Arab Saudi sehingga masuk musim haji kerana perbuatan tersebut boleh membawa padah.
Sejak 2019, Kementerian Pelancongan Arab Saudi memperkenalkan visa pelancong yang membolehkan pengunjung dari 49 negara untuk tinggal di sana selama setahun dan berkunjung beberapa kali selama maksimum 90 hari.
Namun, visa ini ditujukan untuk tujuan pelancongan seluruh Arab Saudi termasuk menunaikan umrah sahaja, manakala bagi menunaikan haji, kelulusan dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah negara itu.
Sungguhpun begitu, terdapat sesetengah pihak sengaja mahu mengaut keuntungan telah bertindak mengeksploitasi visa pelancong untuk melakukan haji.
Perbuatan tersebut boleh dikategorikan sebagai menunaikan haji tanpa permit daripada kementerian itu yang boleh dikenakan hukuman sehingga 50,000 riyal (RM60,000) dan dipenjara selama enam bulan.
Selain itu, warganegara bukan Arab Saudi juga boleh diharamkan daripada memasuki negara itu hingga 10 tahun.
Oleh itu, penting sekali rakyat Malaysia mengikuti prosedur yang betul apabila mahu melakukan ibadah haji di tanah suci.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mempunyai laman web untuk kita mendapatkan maklumat relevan tentang keperluan dan peraturan yang patut dipatuhi.
Sekiranya umat Islam merancang menunaikan haji, patuhilah prosedur ditetapkan untuk mengelak sebarang perkara tidak diingini.
Anda bukan hanya akan berdepan dengan tindakan undang-undang tetapi juga dihalang memasuki negara tersebut pada masa depan.
Marilah kita semua menghormati undang-undang dan peraturan negara tersebut supaya ibadah kita memberikan pengalaman menyenangkan dan juga keinsafan secara spiritual. – UTUSAN
FARIS MOHD. NAZRI, Ketua Pegawai Eksekutif UGO Travel & Tours