Elak anak tagih kasih sayang palsu - Utusan Malaysia

Elak anak tagih kasih sayang palsu

PASTIKAN ibu bapa sentiasa memantau aktiviti anak-anak ketika mereka menggunakan gajet dan media sosial. – GAMBAR HIASAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 1,464 kes gangguan seksual dalam talian melibatkan kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun dan ke bawah sepanjang tahun lalu berbanding 1,273 kes pada 2021.

Dalam tempoh lima tahun, iaitu 2018 hingga 2022, sebanyak 5,727 kes jenayah seksual berpunca daripada media sosial membabitkan mangsa bawah 18 tahun direkodkan PDRM.

Ini menunjukkan secara purata sehari, tiga kanak-kanak atau remaja menjadi mangsa pelaku gila seks dalam talian.

Pelaku dilaporkan mencari dan menjerat mangsa menerusi pelbagai aplikasi media sosial seperti WhatsApp, WeChat, Instagram, Facebook, MiChat, OMi, Lilmatch dan PUBG.

Platform media sosial seperti ini digunakan sebagai medium perkenalan sebelum pelaku mengambil kesempatan dan melakukan pelbagai kesalahan seksual sama ada secara langsung atau melalui penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak termasuk kesalahan peras ugut seks.

Persoalannya, kenapa ibu bapa tidak memantau aktiviti dalam talian anak-anak? Ini juga menunjukkan tahap kesedaran dalam kalangan ibu bapa sangat rendah sehingga leka dan mengabaikan tanggungjawab.

Kita gagal memberi tumpuan dan kasih sayang sepatutnya sehingga anak-anak ini mudah terpengaruh dengan pelaku yang bijak mengambil kesempatan.

Walau sesibuk mana sekalipun, jangan leka dan cuai untuk memberikan perhatian dan kasih sayang sewajarnya kepada anak-anak supaya mereka tidak mencari kasih sayang ‘palsu’ dalam talian.

Jangan kita sekadar membelikan gajet dan menyediakan perkhidmatan internet semata-mata tanpa mengajar mereka cara penggunaan yang betul.

Ini penting kerana bukan sepanjang masa kita mampu memantau apa yang berlaku ketika anak-anak berhubungan dengan rakan dalam talian.

Dalam pada itu, tahap kesedaran terhadap tanggungjawab keibubapaan dalam kalangan anggota masyarakat masih lemah dan perlu ditingkatkan.

Hakikatnya, kecuaian orang dewasa khususnya ibu bapa dilihat menjadi antara faktor utama yang meletakkan kanak-kanak dalam pelbagai situasi risiko yang berbahaya termasuk menjadi mangsa pelaku gila seks dalam talian.

Justeru, semua pihak perlu memandang serius dan memainkan peranan yang sewajarnya supaya kita dapat mengelak kanak-kanak terus menjadi mangsa keadaan angkara kecuaian dan kelalaian orang dewasa.

Ingatlah, mana-mana individu yang cuai boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Namun, menjatuhkan hukuman semata-mata tidak menyelesaikan masalah ini.

Sebaliknya, perlu ada elemen kesedaran yang tinggi selain ilmu dan kemahiran mencukupi untuk memikul tanggungjawab menjaga dan melindungi keselamatan serta kebajikan kanak-kanak. – UTUSAN

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya