SAUDARA PENGARANG,
FENOMENA El Nino di Lautan Pasifik memberi impak kepada peningkatan suhu tinggi di kawasan terdedah.
Sebelum ini, Malaysia pernah mengalami fenomena sama pada 2015 dan 2016 menyebabkan kemarau, iaitu pengurangan taburan hujan yang signifikan daripada biasa.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara ini mengalami gelombang El Nino bermula April sehingga September ini.
Beberapa berita kehilangan nyawa yang dikatakan disebabkan strok haba sejak kebelakangan ini juga memberi tanda awal untuk bersedia menghadapi fenomena ini.
Sudah pasti perubahan cuaca, lebih-lebih lagi peningkatan suhu secara tidak langsung memberi kesan terhadap rutin harian kita. Tidak terkecuali aktiviti pada waktu senggang seperti kegiatan rekreasi luar.
Ramai penggemar aktiviti rekreasi luar seperti mendaki gunung, berkhemah, memancing dan berkayak perlu memikirkan cara dan alternatif terbaik supaya mereka boleh meneruskan aktiviti kegemaran masing-masing.
Persoalannya, adakah wajar untuk diteruskan aktiviti ini? Jika dilihat dari perspektif keseluruhan, aktiviti rekreasi luar masih boleh diteruskan.
Namun, persiapan rapi dari pelbagai aspek perlu dititikberatkan. Pertama, aspek kesihatan diri.
Pastikan tahap kesihatan tiptop sebelum menjalankan aktiviti terutama yang lasak seperti mendaki gunung dan berkayak yang memerlukan banyak tenaga. Dengan cuaca panas, pastikan sentiasa minum air mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi.
Selain itu, penelitian situasi semasa kawasan rekreasi yang hendak dikunjungi penting sebelum memulakan aktiviti. Kemudahsampaian kepada sumber air amat penting terutama semasa aktiviti pendakian.
Penggunaan aplikasi ramalan cuaca seperti myCuaca juga dapat membantu memberikan jangkaan suhu dan cuaca pada setiap hari dan dapat mengelakkan perkara tidak diingini semasa berada di sana.
Selain itu, aspek pemakaian juga perlu diteliti. Pemilihan fabrik pakaian bersesuaian mesti diutamakan, lebih-lebih lagi pada musim cuaca panas dan tidak menentu.
Perancangan rapi dan maklumat kawasan rekreasi hendak dikunjungi juga membantu untuk menentukan pemakaian yang sesuai termasuk penggunaan topi bagi melindungi kepala daripada sinaran terik matahari.
Bagi penggemar modest fashion iaitu bergaya dengan sopan, namun tetap mengikuti trend fesyen terkini atau mesra Muslimah perlu memastikan fabrik pakaian yang dibeli sesuai untuk aktiviti rekreasi luar.
Ini dapat membantu mengurangkan masalah strok atau keletihan haba. Saranan yang juga relevan adalah melakukan aktiviti rekreasi dalaman sebagai alternatif semasa musim El Nino.
Aktiviti rekreasi dalaman adalah kegiatan dijalankan di dalam bangunan atau kawasan berbumbung atau berteduh seperti badminton, renang dan boling.
Dengan alternatif ini, penggemar aktiviti rekreasi luar dapat melalui pengalaman berbeza, namun masih mencapai matlamat, iaitu mengisi masa lapang di samping menjaga kesihatan diri.
Diharapkan dengan semua langkah ini, insiden kemalangan atau kehilangan nyawa disebabkan strok haba atau seumpamanya ketika menjalankan aktiviti rekreasi dapat dihindari dalam musim El Nino. – UTUSAN
DR. NOOR JALILAH JUMAAT, Fakulti Perhutanan & Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM)