Bersara awal jika masih merungut soal kecemerlangan pelajar

Bersara awal jika masih merungut soal kecemerlangan pelajar

KERATAN akhbar Mingguan Malaysia, 7 Mei 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA tertarik dengan laporan berita terbitan Utusan Malaysia berkaitan pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Sebagai seorang pesara, saya ingin memberi pandangan dan berkongsi pengalaman sepanjang 32 tahun menjadi guru dan 28 tahun mengajar kelas peperiksaan Tahun 6 (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tanpa putus.

Perkara ini amat menjejaskan imej Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sudah pastinya ibu bapa yang menghantar anak belajar di sana merasa maruah mereka tercabar, seolah-olah anak mereka main ‘pakai ambil’ sahaja.

Saya merasakan guru -guru di SBP sepatutnya bersyukur kerana mereka hanya ‘cuci tangan’ dapat menerima pelajar yang sememangnya layak berada di situ, tetapi oleh kerana sudah lama berada di zon selesa, jadi apabila pelajar mungkin tidak menepati kehendak mereka dikatakan pelajar tersebut tidak berkualiti.

Guru-guru di sekolah harian biasalah yang sebenarnya wira yang tidak didendang, merekalah yang ‘pecah kepala’ mengajar murid-murid ini sehingga layak mendapat tempat di SBP atau MRSM.

Guru-guru yang mengajar di kelas peperiksaan adalah merupakan pakar yang sebenarnya menilai murid-murid. Apabila Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) diguna pakai, guru sudah nampak potensi murid sebagai calon ke SBP atau MRSM.

Semua pemarkahan yang diberi adalah telus dan tepat untuk melayakkan murid-murid ini mengambil Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) .

Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya yang mengatakan aspek kognitif, efektif dan psikomotor yang dinilai daripada PBS dan PBD tidak mencerminkan standard holistik seperti UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). Untuk pengetahuan, dari markah yang diterima itulah guru-guru akan mencalonkan murid-murid ke PKSK.

Jadi, isu pelajar SBP tidak berkualiti sebenarnya memperlekehkan kerja guru-guru di sekolah harian dan seolah-olah tidak menghargai langsung penat lelah mereka.

Sementara menjadi tugas guru di SBP untuk cemerlangkan lagi pelajar-pelajar yang menyambung pengajian di sana, bukan hanya mengeluh kerana kecewa. Sesungguhnya menjadi pendidik ini merupakan satu tugas yang cukup mencabar dan cabaran itulah merupakan satu kepuasan kepada kita apabila dapat menjadikan pelajar-pelajar insan yang cemerlang dan terbilang.

Kepada yang masih merungut mudah sahaja, mohon bersara awal.-UTUSAN

CIKGU JAMAL
Kuala Rompin, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya