SAUDARA PENGARANG,
PERNAH satu waktu dahulu. seorang ibu berkongsi di Facebook berhubung rasa bimbangnya terhadap latihan mata pelajaran Matematik tahun satu berasaskan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang disifatnya terlalu sukar untuk diselesaikan anaknya, dianggapnya bertaraf ‘kayangan.’
Apa yang didedahkan ibu terbabit membuktikan cabaran pendidikan pada hari ini semakin bertambah bukan hanya kepada golongan pendidik, tetapi juga murid.
Mungkin boleh kita katakan, sistem pembelajaran generasi kini kian mencabar bagi kedua-dua golongan ini untuk saling mempelajari dan memahami seiring peningkatan aras teknologi dan perkembangan falsafah pemikiran ke arah melahirkan pelajar yang mampu berfikiran aras tinggi dan berpemikiran madani.
Madani adalah satu konsep yang diistilahkan sebagai kemajuan dari aspek intelek, sahsiah dan material. Apabila konsep ini diserapkan ke dalam sistem pendidikan, maka akhirnya ia bertujuan menjana corak kognitif yang kritis.
Melihat semula, usaha melaksanakan KBAT melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 merupakan usaha intensif kerajaan untuk menggalakkan murid seawal usia sekolah rendah membina corak pemikiran yang berdaya saing dan kreatif.
Saya pasti ibu bapa yang melihat kepada struktur pembelajaran murid sekolah rendah pada hari ini berasa hairan dan berpendapat, ia agak ke depan jika dibandingkan dengan apa yang mereka pernah belajar di usia sama, 30 tahun lalu.
KBAT ‘memaksa’ pelajar untuk berfikir di luar kotak dan ia melibatkan semua mata pelajaran secara holistik.
Menurut ilmu psikologi, KBAT merupakan suatu bentuk kebolehan kognitif di peringkat paling tinggi yang memerlukan seseorang mengumpul informasi, menyimpan, menyusun dan mengaitkannya untuk menyelesaikan sesuatu situasi atau permasalahan.
Benar, KBAT amat berkait rapat dengan kemajuan teknologi di mana pelajar perlu menggunakan kemudahan akses ini untuk memahami keadaan semasa dan cabaran global dan mendapatkan informasi serta seterusnya membantu mereka untuk mencari solusi bagi keadaan dihadapi.
Penyelidik dalam bidang pendidikan, J.J. Onosko dan F.M. Newmann dalam satu kajian pada 1994 berpendapat, pemikiran aras tinggi menggalakkan penggunaan minda secara meluas.
Misalnya, mata pelajaran Matematik yang sering dianggap sukar oleh pelajar boleh sahaja menjadi menarik dan lebih mudah apabila soalan-soalan berkaitan KBAT dilibatkan.
Sebagai contoh, soalan melibatkan operasi pecahan; biasanya guru hanya menjelaskan dan berbincang dengan murid mengenai konsep pecahan dan kaedah pengiraan.
Namun, apabila konsep KBAT dilibatkan, guru mengaitkan pecahan dengan bidang-bidang yang diajar oleh mata pelajaran lain.
Guru boleh menggunakan tayangan video untuk menunjukkan kepada pelajar bagaimana kiraan pecahan dilakukan dan bagaimana ia melibatkan konsep mata pelajaran Sains berkaitan dan bagaimana pecahan dan pembahagian dapat mewujudkan kasih sayang seperti diajar dalam mata pelajaran Pendidikan Islam.
Kaedah ini mengubah corak kognitif pelajar mengenai mata pelajaran Matematik dan akhirnya falsafah pelajar terhadap proses pembelajaran semakin kreatif dan meluas serta pemikiran pelajar tidak hanya tertumpu kepada satu bentuk pemikiran yang sempit dan terhad.
Walaupun sistem pedagogi hari ini nampak lebih sukar dan mencabar tetapi kaedah KBAT ini menjadikan proses pembelajaran semakin menarik. – UTUSAN
DR. NADIAH ABDUL AZIZ, Universiti Pengurusan & Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT)