SAUDARA PENGARANG,
RAKYAT Malaysia sememangnya dikenali sebagai masyarakat yang pemurah dan baik hati. Kita sentiasa bersangka baik pada orang lain kerana ia sudah menjadi darah daging sejak zaman-berzaman.
Namun, naluri baik ini sering kali diambil kesempatan oleh golongan yang cuba merompak tapi bukan secara fizikal, sebaliknya melalui hanya satu panggilan telefon atau pautan pada e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), WhatsApp atau Telegram anda.
Rompakan mereka sememangnya jarang sia-sia, adakalanya jauh lebih lumayan daripada rompakan secara fizikal. Adakah penipu ini hanya wujud di Malaysia? Pasti jawapannya tidak kerana ia berlaku seantero dunia.
Namun, perlukah kita ambil mudah hanya kerana ia terjadi di seluruh dunia. Barangkali jika tidak menjadi mangsa penipu, kita tidaklah terasa sangat.
Namun, pada yang pernah menjadi mangsa, rasanya menangis air mata darah pun tidak berguna. Lebih malang, kerugian yang diakibatkan oleh penipu ini tidak boleh dituntut semula.
Untuk rekod, tidak pernah ada kes mangsa yang menjadi mangsa penipu berjaya mendapatkan kembali wang mereka. Bukan sedikit nilai yang diperoleh oleh penipu ini, mungkin boleh dapat jutaan ringgit.
Adakah hanya budak sekolah, orang tidak terpelajar menjadi mangsa mereka? Jawapannya tidak, golongan profesional dan terpelajar pun tidak ketinggalan.
Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa jika lalai. Kebanyakan modus operandi penipu, mereka akan memainkan psikologi mengenai perkara yang kita takuti seperti hutang, penjara, mahkamah, denda dan pelbagai lagi.
Tapi percayalah, institusi yang melaksanakan tugas rasmi kerajaan, tidak sesekali menggunakan media alternatif, nombor telefon bimbit dan e-mel untuk menakut-nakutkan orang awam.
Bila sesuatu terlalu sempurna ditawarkan, kita wajar untuk bersyak wasangka yang berlebihan. Buat pelaburan yang membawa pulangan sangat luar biasa, perlu ada syak wasangka.
Dengan penaakulan, kalau ia sesuatu yang benar, orang tersebut tidak akan mudah berkongsi dengan orang tidak dikenali kerana lebih baik mereka menikmatinya secara total. Mereka bukan berniat berkongsi tetapi memasang perangkap.
Dalam menghadapi ancaman penipu yang sering kali mengambil kesempatan di atas kealpaan kita, perkongsian petua adalah penting bagi memastikan kita sentiasa berjaga-jaga supaya sesal kemudian tiada berguna dapat dielakkan.
Pertama, buat pengesahan berganda pada gajet anda. Sekiranya ada gajet lain yang cuba untuk menggunakan akaun anda, kod verifikasi adalah diperlukan.
Sekiranya kod yang dimasukkan salah, notifikasi akan dihantar ke telefon anda. Kedua, bertenang jika dituduh berhutang atau sedang menghadapi kes jenayah.
Tiada sebab perlu panik jika anda tidak pernah membuat kesalahan dan jika ada pun, baik bertenang terlebih dahulu.
Kebanyakan penipu memancing emosi takut dan cemas anda untuk membuatkan anda bertindak di luar kawalan atau seolah-olah terpukau dengan tindakan mereka.
Ketiga, jangan tekan apa-apa pautan yang mencurigakan. Jika ada rasa ragu dengan tawaran atau pautan e-mel bank yang meminta untuk kita kemas kini maklumat peribadi, jangan tekan pautan terbabit.
Keempat, sentiasalah memantau media sosial Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dari semasa ke semasa memaklumkan tentang ancaman terbaharu daripada penipu. – UTUSAN
YAU’MEE HAYATI MOHAMED YUSOF DAN NURMUSLIMAH KAMILAH ABDULLAH, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu