Atasi segera jurang tenaga kerja dalam sektor rel negara - Utusan Malaysia

Atasi segera jurang tenaga kerja dalam sektor rel negara

PEMODENAN dan penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan rel perlu seiring dengan peningkatan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja sektor rel. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEKTOR kereta api di Malaysia telah memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi sejak akhir 1980-an. Kereta api diiktiraf sebagai salah satu mod pengangkutan darat yang penting kerana banyak kelebihan seperti keupayaan bergerak dalam jarak jauh dengan kapasiti muatan yang lebih besar.

Selain itu, ia adalah salah satu bentuk pengangkutan yang paling selamat, berteknologi rendah karbon di samping berada di luar daripada kesesakan trafik yang sering dihadapi penghuni bandar.

Sumbangan sektor rel kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka meningkat daripada 0.3 peratus pada 2015 kepada 1.2 peratus menjelang 2030.

Sasaran ini boleh dicapai dengan meningkatkan jumlah perjalanan daripada 70 juta pada 2018 kepada 260 juta menjelang 2030 melalui projek menaik taraf rangkaian kereta api, pembangunan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi dan pemodenan sektor rel.

Justeru, pemodenan dan penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan rel perlu seiring dengan peningkatan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja sektor rel.

Menurut laporan Kesatuan Kereta Api Antarabangsa, industri itu dijangka menghadapi kekurangan pekerja mahir yang ketara pada tahun-tahun akan datang.

Laporan tersebut menyatakan bahawa menjelang 2025, industri itu akan memerlukan tambahan 1.2 juta pekerja mahir di seluruh dunia.

Jurang ini disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk ada tenaga pekerja mahir yang sudah memasuki usia persaraan, kekurangan pelaburan dalam latihan dan kurangnya minat golongan muda untuk meneruskan kerjaya dalam industri teknikal yang dianggap lebih sukar.

Isu perpindahan tenaga kerja mahir negara dalam bidang rel ke negara jiran seperti Singapura dan negara-negara Asia Barat telah mula dihadapi sejak beberapa tahun lalu disebabkan tawaran gaji yang jauh lebih tinggi.

Negara-negara asing terbabit memberikan faedah yang lebih kompetitif seperti kemudahan penginapan, kesihatan, elaun tambahan serta pendedahan kepada teknologi terkini yang tidak digunakan di Malaysia.

Justeru, kerajaan perlu memikirkan langkah penyelesaian terutama melabur dalam program latihan dan pembangunan yang boleh membantu merapatkan jurang kemahiran sekali gus dapat menarik golongan muda menceburi industri rel.

Ini termasuk mengambil kira isu pendapatan, insentif latihan dan kerjasama dengan pihak yang boleh memanfaatkan kepakaran serta sumber semua pihak berkepentingan. – UTUSAN

PROF MADYA DR. NOR AZIATI ABDUL HAMID, Pusat Kecemerlangan Industri Rel, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya