Ziarah raya jangan asyik tengok gajet - Utusan Malaysia

Ziarah raya jangan asyik tengok gajet

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri yang baru berlalu adalah sempena kemenangan menundukkan hawa nafsu selama sebulan berpuasa pada bulan Ramadan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal telah pun berlalu. Ia disambut sebagai hari kemenangan menundukkan hawa nafsu selama sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia adalah hari umat Islam pulang kepada ­fitrah, iaitu kembali bersih zahir dan batin. Kebersihan dan kesucian jiwa ini adalah kesan daripada amalan ibadah puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan.

Justeru, rayakan Hari Raya Aidilfitri dengan kesucian jiwa supaya wujud kesejahteraan dan keharmonian masyarakat Islam khususnya dan masyarakat berbilang kaum amnya.

Tidak salah masyarakat bukan Islam turut sama kunjung-mengunjungi rumah rakan Islam untuk sama-sama meraikan sebagai tanda muhibah. Ini dapat memperkukuh ikatan sosial masyarakat pelbagai kaum dan budaya.

Sepatutnya ibadah puasa yang dilaksanakan sepanjang Ramadan dapat membina akhlak yang baik dalam diri kita.

Ibadah puasa seharusnya melahirkan sifat kasih sayang, bersangka baik, bertolak ansur dan berlapang dada.

Selain itu, Hari Raya Aidil­fitri juga mempunyai mesej kesederhanaan dalam kehidupan. Ibadah puasa mendidik kita untuk hidup serba sederhana.

Ketika berziarah dan bergembira dengan saudara-mara dan sahabat handai, maka jagalah adab berbicara dengan menjauhi kata-kata bersifat menyindir atau merendah-rendahkan orang lain.

Sikap ini penting supaya pertemuan dan ziarah kita di bulan mulia ini dilimpahi rahmat dan keberkatan, bukannya membawa kebencian dan permusuhan.

Anak-anak pula mesti dididik dengan mengajar mereka nilai mengeratkan silaturahim. Mereka mesti menghayati bahawa nilai silaturahim itu lebih penting daripada keinginan untuk mendapatkan duit raya.

Mereka mesti dididik dengan adab kesopanan, menghormati saudara-mara dan tetamu. Jangan biarkan anak kita asyik dengan gajet seperti telefon bimbit yang melalaikan hingga melupakan nilai-nilai adab ketika menyambut tetamu atau ketika berziarah ke rumah orang lain. – UTUSAN

MOHD. AYOP ABD. RAZID, Penganalisis sosiopolitik bebas

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya