SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar meluahkan kekesalan terhadap kecenderungan tidak sihat beberapa ahli pentadbiran kerajaan yang mempertikaikan laporan media yang tidak menyebelahi mereka yang disifat beliau bakal menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pembaca terhadap media massa.
Di seluruh dunia sebenarnya, tahap keyakinan awam terhadap media semakin merudum. Di Amerika Syarikat (AS) misalnya, menurut kajian Pusat Penyelidikan Pew pada tahun lalu, hanya 61% rakyat negara itu mempercayai berita yang mereka dengar menerusi organisasi media utama di sana. Ini merupakan penurunan drastik dari 76 peratus di tahun-tahun sebelumnya.
Terdapat banyak kesan buruk jika media terus ‘diserang’ dan dipertikaikan secara tidak adil. Kita tidak mahu menjadi seperti AS, di mana ahli politik di sana terutama bekas Presiden, Donald Trump dengan sewenang-wenangnya melabel media tidak sehaluan dengan agenda parti Republikan sebagai ‘musuh rakyat’ semenjak 2018.
Sayangnya, terdapat petanda bahawa budaya menyalahkan media massa sebegini telah mula menular di Malaysia. Lihat sahaja bagaimana seorang ahli Parlimen daripada Malaysia Timur menyalahkan media yang dikatakan sengaja memainkan isu sensitif berkaitan agama dan bangsa, sedangkan media cuma melaporkan kenyataan beliau.
‘Serangan’ sebegini bakal memudarkan keyakinan awam kepada media massa secara keseluruhannya. Hasilnya, mereka akan lebih memilih media digital yang lebih mengedepankan sensasi daripada nilai dan ketepatan sesuatu informasi, demi mendapat jumlah tanda suka dan tontonan banyak
Lebih membimbangkan lagi, khalayak awam akan lebih cenderung memilih dan membaca media massa yang hanya menyokong apa yang mereka percaya dan menolak bulat-bulat apa-apa yang mencabar kepercayaan mereka.
Mereka akan menjadi seperti keldai yang hanya mengikut apa yang media massa kegemaran mereka katakan. Hal ini tidak sepatutnya berlaku, kerana mereka seharusnya membaca daripada pelbagai sumber berbeza, sebelum membandingkan dan membuat keputusan sendiri serta bukan mengikut secara membuta tuli.
Dikhuatiri juga, kebergantungan kepada hanya beberapa media massa akan membenihkan unsur-unsur ekstremis dalam kalangan orang awam. Justeru, pihak yang berkepentingan jangan terus menjadikan media massa sebagai kambing hitam, terutama pada saat mereka melaporkan hal-hal yang bersifat kontroversi.
Pihak-pihak ini tidak sepatutnya cuba untuk mengawal media massa secara berlebihan. Ini bukan tindakan tepat. Kepercayaan awam terhadap media massa akan luntur sama sekali dan mereka akan beralih kepada media sosial seperti TikTok dan Facebook sepenuhnya sebagai sumber informasi dan berita mereka.
Bencana lebih besar bakal menanti kita bila ini berlaku, apatah lagi maklumat di media sosial boleh disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab tanpa kawalan. – UTUSAN
MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak