SAUDARA PENGARANG,
SEJAK Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) isu perkauman sering dimain-mainkan oleh ahli politik dan sesetengah rakyat sehingga menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat. Keadaan ini secara langsung atau tidak langsung menjejaskan hubungan antara kaum.
Tidak dapat dinafikan bahawa sekiranya ingin merealisasikan konsep bangsa Malaysia, rakyat haruslah saling menghormati antara satu sama lain, toleransi mahu pun beradab ketika mengkritik. Ini kerana sekiranya ingin melakukan kritikan, maka kita haruslah mempunyai niat yang positif, iaitu untuk mengubah sesuatu yang kurang kepada lebih sempurna.
Di samping itu, keadilan dalam pelbagai bidang seperti politik, sosial dan ekonomi harus dititikberatkan untuk merealisasikan konsep bangsa Malaysia memandangkan ketidakadilan yang berlaku dalam pelbagai bidang akan mengungkit perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat. Sebagai contoh, amalan mengambil pekerja sesama bangsa oleh majikan perlu dielakkan kerana setiap rakyat berhak mendapatkan kerjaya sekiranya memenuhi kriteria yang diperlukan. Bukan itu sahaja, tindakan menjual barang dengan harga yang berlainan mengikut bangsa harus dihentikan kerana tindakan tersebut bukan sahaja berunsur ketidakadilan, malah menimbulkan budaya rasis. Oleh hal yang demikian, prinsip kesamarataan hak harus diberi perhatian untuk menjamin hak dan kebajikan rakyat dalam membentuk negara yang harmoni.
Begitu juga isu bahasa kebangsaan harus ditekankan lagi melalui pihak sekolah dan di rumah. Kita perlu ingat, bahasa Melayu merupakan inti yang penting dalam pembentukan bangsa Malaysia kerana merupakan bahasa pengantar yang indah antara pelbagai kaum.
Sementara itu, media boleh berperanan dengan menyebarkan iklan yang berunsur perpaduan. Dengan adanya penyebaran iklan berunsur perpaduan seperti menyiarkan perayaan sesebuah bangsa akan membuat rakyat rasa dihargai dan dihormati. Bahkan kita juga boleh belajar serta saling mengenali budaya masing-masing.-UTUSAN
ONG QI FEI
Fakulti Bahasa dan Komunikasi,
Kampus Sultan Abdul Jalil Shah,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)