Terap adab, akhlak dari sekolah lagi

Terap adab, akhlak dari sekolah lagi

PENDIDIKAN penting dalam membangun watak dan peradaban manusia. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ANTARA permasalahan besar kehidupan moden hari ini ialah masyarakat kita semakin kehilangan adab sehingga membawa kepada masalah keruntuhan akhlak atau moral yang agak kronik.

Kehilangan adab ini juga dapat dilihat dengan ketara di media sosial yang menjadi medium masyarakat masa kini berinteraksi dan berkomunikasi secara meluas apabila berlaku penyebaran berita palsu dan penggunaan kata-kata kesat.

Dalam masyarakat yang lebih besar ini kita dapati pelbagai isu timbul seperti keruntuhan akhlak, perlakuan pelbagai jenayah, pelacuran, amalan seks songsang, masalah pengedaran dan penagihan dadah, rasuah, penyalahgunaan kuasa, budaya kehidupan songsang dan pelbagai lagi kebejatan sosial yang berlaku.

Ini menunjukan ada sesuatu tidak kena dalam sistem pendidikan kita yang menjadi akar atau teras asas pembinaan insan.

Pendidikan merupakan unsur penting dalam membangun watak dan peradaban manusia. Kita tidak patut menumpukan kepada usaha pengisian ilmu semata-mata dengan memandang ringan kepada pembentukan adab dan akhlak pelajar.

Pembentukan adab dan akhlak adalah berkaitan dengan pembangunan rohani. Sekiranya pembangunan rohani itu tidak diberi penekanan sewajarnya maka ia hanya akan membentuk masyarakat yang maju kebendaannya tetapi keras dan kasar jiwanya, lemah akhlak dan nilai moralnya.

Yang terbaik ialah keseimbangan antara kedua-duanya yang akan melahirkan masyarakat maju dan berbudi luhur serta tinggi nilai kemanusiaannya.

Justeru, antara cabaran dalam dunia pendidikan hari ini adalah membetulkan kembali sistem pendidikan yang tempang ini kepada landasan sepatutnya kerana ia adalah jalan atau cara terbaik membina manusia beradab.

Menurut ahli falsafah, Syed Naquib al-Attas, kita kehilangan adab kerana mengaplikasikan konsep ilmu yang salah berabad-abad lamanya. Ini berlaku setelah acuan pendidikan dan pemikiran Barat moden masih menjadi rujukan dan acuan utama kita.

Pendidikan Barat moden hanya berupaya membangun akal fikiran manusia insan tetapi gagal dalam membentuk adab (akhlak) insaniah. Menurut Naquib, konsep ilmu sekular Barat adalah sumber kerosakan terbesar bagi umat manusia.

Ini kerana tradisi ilmu dalam masyarakat Barat membuang agama dalam kehidupan mereka. Pendidikan kita telah kehilangan elemen tadib (pembentukan adab dan akhlak yang baik) sehingga gagal mendidik pelajar menjadi insan yang benar-benar cemerlang dunia dan akhirat.

Apakah yang dimaksudkan dengan adab? Apakah ia sekadar sopan santun atau berbudi bahasa semata-mata? Dalam konteks ini, Naquib menjelaskan, adab itu bermaksud kita meletakkan dan memuliakan sesuatu pada kedudukan sewajarnya.

Contoh, dalam konteks berkaitan ilmu, orang beradab pasti akan memuliakan orang berilmu dan tahu menghargai aktiviti keilmuan. Demikian juga orang yang berakhlak dan beradab, tahu akan keburukan yang terhasil daripada perlakuan rasuah atau menyalahgunakan kuasa.

Adab paling tinggi yang dianggap puncak segala adab adalah meletakkan Allah di tempat-Nya yang wajar. Individu terbabit dapat merasakan segala tindak-tanduknya dalam pengawasan Allah SWT.

Menerapkan adab bukan melalui pengajaran ilmu-ilmu agama sahaja tetapi mesti ditekankan dalam semua cabang ilmu atau mata pelajaran sehingga mampu melahirkan generasi beradab dan berakhlak mulia.-UTUSAN

MOHD. AYOP ABD. RAZID
Penganalisis sosiopolitik bebas

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya