SAUDARA PENGARANG,
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa rakyat Malaysia agar membebaskan kanak-kanak daripada nikotin dan sesiapa juga yang menggunakan vape atau e-rokok kerana peranti itu tidak selamat apabila disekeliling kanak- kanak.
Penggunaan e-rokok adalah tidak selamat untuk kanak-kanak, remaja dan belia. Ini kerana kebanyakan e-rokok mengandungi nikotin. E-rokok juga boleh mengandungi bahan bahaya lain selain daripada nikotin.
Nikotin boleh membawa kepada ketagihan malah boleh membahayakan perkembangan otak remaja secara berterusan dari peringkat awal sehingga pertengahan 20-an.
Golongan kanak-kanak dan remaja terdedah untuk ketagih kepada nikotin di dalam peranti vape dan e-rokok, malah perisanya juga mungkin menjadikan vape lebih menarik untuk dinikmati.
Terdapat bukti bahawa kanak-kanak menyukai perisa seperti gula-gula getah, buah-buahan dan gula-gula malah mereka suka mencuba perisa yang baharu yang juga mengandungi nikotin.
Ekoran ramai yang menganggap menghisap vape atau e-rokok sebagai gaya hidup yang ‘cool’ menyebabkan majoriti ibu bapa menggunakan e-rokok atau vape ketika di rumah mahupun kereta dan trend ini amat membimbangkan.
Walaupun kita memerlukan lebih banyak kajian, namun sudah terbukti nikotin memang boleh membahayakan otak remaja yang sedang berkembang. Untuk pengetahun umum, otak kanak-kanak akan berkembang sehingga berusia 25 tahun.
Menggunakan nikotin pada usia remaja juga boleh membahayakan bahagian otak yang mengawal perhatian, pembelajaran, mood dan kawalan impuls.
Menggunakan nikotin pada usia remaja juga boleh meningkatkan risiko ketagihan pada masa hadapan terhadap ubat-ubatan lain. Bahkan ia menimbulkan risiko kesihatan yang serius bagi kanak-kanak.
Justeru, belia dan kanak-kanak perlu mengelakkan penggunaan semua produk yang mengandungi nikotin, termasuk e-rokok.-UTUSAN
N. V. SUBBAROW
Pegawai Pendidikan CAP