Semua menteri jangan gigit tangan yang menyuapnya - Utusan Malaysia

Semua menteri jangan gigit tangan yang menyuapnya

GAJI minimum yang diperkenalkan kerajaan masih di bawah paras garis kemiskinan di Malaysia iaitu RM2,200.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar memberi jaminan bahawa tiada pengurangan tenaga kerja akan berlaku akibat langkah kerajaan menghentikan monopoli dalam sektor perkhidmatan di negara ini.

Beliau berkata, jaminan itu diberikan memandangkan permintaan terhadap keperluan tenaga kerja di Malaysia ketika ini adalah tinggi dan masalah pengangguran yang berlaku sekarang disebabkan ada individu yang memilih kerja.

Sivakumar juga memaklumkan bahawa kerajaan serius untuk memecahkan monopoli dalam sektor pengambilan pekerja asing ke negara ini supaya tiada pihak yang mengaut keuntungan tinggi daripada keperluan untuk mendapat tenaga kerja asing oleh industri-industri.

Saya tidak bersetuju dengan kenyataan Sivakumar yang mengatakan bahawa ramai rakyat tiada pekerjaan kerana mereka memilih kerja. Ini tidak betul sama sekali kerana isu pokoknya adalah kadar gaji yang terlalu rendah.

Kajian daripada Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) menunjukkan bahawa kadar kenaikan gaji adalah terlalu rendah berbanding dengan kos sara hidup sejak beberapa dekad kebelakangan ini di Malaysia.

Selain itu, gaji minimum RM1,500 telah dilaksanakan untuk sebahagian tenaga kerja di negara ini, tetapi gaji itu masih di bawah paras garis kemiskinan di Malaysia iaitu RM2,200.

Kesemua statistik ekonomi seperti produktiviti, kekayaan negara, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), gaji lembaga pengarah, kadar keuntungan syarikat dan pulangan modal di Bursa Malaysia, malah jualan kereta mewah di Malaysia telah meningkat.

Namun, pihak syarikat masih enggan untuk tidak menaikkan gaji pekerja kerana kelemahan kuasa kolektif tenaga kerja di Malaysia.

Gaji yang rendah adalah faktor utama mengapa anak muda tidak berminat dengan pekerjaan yang tersedia di negara ini. Anak muda sudi bangun pada pukul 3 pagi menuju ke Singapura untuk bekerja sebagai pembersih lantai.

Malah, anak muda sudi meninggalkan keluarga dan tanah air ke negara yang tidak dikenali untuk bekerja sebagai pemetik buah demi gaji lebih tinggi.

Kerajaan harus mengambil langkah yang kukuh untuk meningkatkan gaji dengan memudahkan penubuhan kesatuan sekerja. Laporan KRI mengetengahkan kepentingan kesatuan kerja dalam meningkatkan kuasa kolektif tenaga kerja yang akan meningkatkan kadar gaji.

Menteri Sumber Manusia perlu berhenti memberi kenyataan retorik yang berpihak kepada golongan pemodal dan golongan mahakaya kerana ia memberi gambaran kerajaan tidak memiliki kesungguhan politik untuk menyelesaikan masalah itu.

Para menteri perlu ingat bahawa rakyat yang mengundi mereka sebagai ahli Parlimen. Malah, gaji menteri yang bernilai beratus ribu ringgit setahun adalah hasil titik peluh dan keringat rakyat. Menteri tidak harus menggigit tangan yang menyuapnya. – UTUSAN

SIVARANJANI MANICKAM, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya