SAUDARA PENGARANG,
SETIAP kali Syawal menjelma, menjadi tradisi di Malaysia mengadakan rumah terbuka. Pelbagai juadah, kuih-muih dan minuman dihidangkan untuk para tetamu.
Namun, ada satu golongan yang sering dilupakan oleh penganjur majlis rumah terbuka. Mereka ialah penghidap diabetes.
Ramai dalam kalangan penghidap diabetes takut untuk menjamu selera. Gula boleh dibaratkan seperti dadah kepada mereka.
Teringin sangat untuk mengambilnya. Bila mula menjamah sedikit, terasa ingin menjamah lagi dan lagi.
Sebelum keluar rumah, paras gula dalam darah sekitar 4 hingga 6 mmol/L sahaja dan abdomen masih lagi antara 4 hingga 6 pek.
Setelah hadir ke beberapa rumah terbuka, paras gula dalam darah melonjak naik melebihi 20 mmol/L dan abdomen menjadi 1 pek.
Saya harap penganjur majlis rumah terbuka dapat menyajikan juadah, kuih-muih dan minuman yang kurang manis, rendah indeks glisemik (GI) dan tinggi serat untuk para tetamu yang ingin mengurangkan pengambilan gula.
Letakkannya di satu ruang khas yang dilabel ‘Makanan & Minuman Tanpa/Kurang Gula.’
Tidak semestinya penghidap diabetes sahaja yang ingin menjaga pemakanan, mereka yang belum menghidapnya pun ingin berhati-hati dengan makanan dan minuman yang diambil demi menjaga kesihatan.
Dalam hal ini, saya harap Kementerian Kesihatan (KKM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Diabetes Malaysia dapat memberi peringatan kepada rakyat tentang pengambilan makanan dan minuman setiap kali Syawal menjelma di media arus perdana dan media sosial.
Berikan juga cadangan dan panduan kepada penganjur majlis rumah terbuka raya tentang penyajian makanan dan minuman yang sesuai untuk penghidap diabetes.
Kalau boleh, sediakan juga perkhidmatan ujian glukosa dalam darah di majlis rumah terbuka terutama bagi peringkat negeri dan kebangsaan dengan bayaran yang rendah, misalnya RM2 bagi satu ujian.
Diabetes bukanlah penyakit seperti demam atau selesema di mana simptomnya mudah dikesan. Tanpa sedar, orang yang rasa dirinya sihat dan cergas, mungkin telah menghidap diabetes. Itu sangat berbahaya.
Agak sukar bagi tuan rumah dan penganjur majlis rumah terbuka untuk memenuhi permintaan semua hadirin.
Sekurang-kurangnya cuba penuhi keperluan yang berkaitan dengan pegangan agama dan masalah kesihatan.
Penghidap diabetes juga ingin makan minum, bergembira, bergaul dan beramah mesra di hari raya dengan saudara-mara dan sahabat handai.
Kegembiraan, senyuman mesra dan gelak tawa mereka di rumah terbuka hari raya akan membuatkan mereka lupa segala masalah buat seketika, terutamanya tentang penyakit sedang dihidapi. – UTUSAN
MARISSA QT, Kuala Lumpur