SAUDARA PENGARANG,
TERDAPAT empat revolusi industri utama yang berlaku di dalam sejarah manusia, iaitu revolusi industri pertama sehingga revolusi industri keempat.
Jika kita amati, secara umumnya kesemua revolusi industri ini sebenarnya berkaitan dengan percubaan manusia untuk menggunakan masa secara optimum dengan meningkatkan produktiviti melalui bantuan teknologi.
Masa menjadi antara fokus utama supaya manusia mendapat lebih nilai untuk waktu yang ada pada dirinya.
Kini adalah zaman Revolusi Industri 4.0 yang mana teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), robotik, internet benda (IoT) dan automasi semakin berkembang pesat.
Melihatkan semua ini, benarlah seperti dikatakan pujangga bahawa masa itu emas. Ia adalah komoditi yang sangat berharga dalam kehidupan manusia.
Datangnya sentiasa tetap dan perginya tidak dapat ditahan-tahan. Manusia tidak dapat membeli masa, justeru mereka sentiasa mencuba untuk mendapatkan lebih nilai untuk waktu yang ada.
Di bulan Ramadan pula, ada hadiah diberikan oleh Allah SWT yang jika dinilaikan dengan masa merupakan malam lebih baik daripada 1,000 bulan kepada hamba-hamba-Nya, iaitu malam lailatulqadar.
Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatulqadar. Dan apakah kamu tahu apa itu malam lailatulqadar? Malam lailatulqadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan.
“Pada malam itu, turun malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat itu) hingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1-5)
1,000 bulan adalah bersamaan dengan 83 tahun empat bulan. Maka berbahagialah mereka yang menerima anugerah ini kerana mendapat nilai masa yang mungkin lebih daripada jumlah usia dikurniakan Allah SWT kepada mereka. – UTUSAN
HAIRULNIZAM MAHDIN & ABU HANIFA ABU MUKHTAR, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)