Penduduk sangat bimbang lalu jalan raya berbahaya - Utusan Malaysia

Penduduk sangat bimbang lalu jalan raya berbahaya

SEORANG penduduk menunjukkan jalan berlopak antara Jalan Sungai Pasir ke Padang Tembusu di Sungai Petani, Kedah. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENDUDUK di beberapa taman perumahan antara Sungai Pasir ke Padang Tembusu di Sungai Petani, Kedah meminta kerajaan membaiki jalan raya rosak dan berlopak di situ.

Penduduk yang sering melalui jalan raya itu sangat bimbang dengan risiko kemungkinan berlaku kemalangan kesan daripada jalan berlopak dan berpasir itu.

Perkara begini perlu diberi perhatian serius. Jalan yang sering dilalui oleh penduduk kini begitu teruk sekali.

Lubang pada jalan raya itu berlaku akibat daripada ketidaksempurnaan pada permukaan jalan di mana tanah mampat di bawah turapan yang menjadi lemah. Ia biasanya disebabkan oleh air dalam struktur tanah di bawahnya dan pergerakan lalu lintas yang melaluinya.

Lubang itu yang berasal daripada rekahan kecil menjadi lebih besar dari semasa ke semasa kerana tidak diperbaiki segera.

Kita tidak mahu keadaan jalan berlopak ini akan menyebabkan kes kemalangan dan kematian seperti yang berlaku di Selangor.

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terdapat 223 kemalangan yang berpunca daripada keadaan fizikal jalan raya yang berlubang dan rosak di Selangor sepanjang 2018 hingga 2020.

Daripada jumlah itu, berlaku sebanyak 148 kemalangan membabitkan kematian yang majoritinya melibatkan penunggang motosikal.

Oleh itu, pihak berkenaan boleh datang melihat sendiri keadaan jalan raya yang sering dilalui penduduk dari Taman Semarak Fasa 1, Taman Pasir Mas dan lain-lain.

Biasanya, pelbagai andaian timbul bila sahaja berlaku kes kemalangan ngeri di atas jalan raya berlopak di situ. Yang pastinya, penduduk akan berasa lega jika lubang itu dikambus dan diturap tar.

Lagi pula ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan dan sekolah menengah di Sungai Pasir menggunakan jalan raya itu. – UTUSAN

ABD RAZAK OSMAN, Sungai Petani, Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya