Penduduk bimbang pokok tumbang - Utusan Malaysia

Penduduk bimbang pokok tumbang

KEJADIAN pokok tumbang bila-bila masa boleh berlaku berikutan fenomena perubahan iklim di Pulau Pinang. – GAMBAR HIASAN/GOOGLE STREET VIEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA pemilik rumah bernombor 33, Lorong Seri Arowana 4,13700 Perai, Pulau Pinang memerlukan perhatian Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam menangani masalah pokok tumbang dan daun luruh memasuki hartanah pemilik.

Aduan telah dibuat pada 20 Januari lalu melalui telefon kepada Bahagian Aduan MBSP memohon menebang sebatang pokok yang meninggi di hadapan rumah dan berbahaya.

MBSP mengambil tindakan dengan memotong daun-daun dan sedikit ranting. Namun, langkah pencegahan mengelak penghuni hartanah berasa takut dan bimbang seperti kemungkinan pokok tumbang masih tidak diatasi. Kejadian pokok tumbang bila-bila masa boleh berlaku berikutan perubahan iklim di Pulau Pinang.

Kejadian pokok tumbang menimpa harta alih dan tidak alih telah berlaku di kawasan perumahan lain di negeri ini. Pelbagai alasan diberikan untuk tidak menebang pokok terbabit.

Antaranya jarak hartanah dari jalan adalah tiga meter. Justeru, saya pohon jaminan secara bertulis daripada MBSP sekiranya pokok tumbang secara ­fizikal dan terkena rumah saya.

Diharapkan MBSP akan membayar ganti rugi serta-merta dan kerja pembersihan dibuat walaupun kejadian terjadi pukul 3 pagi.

Peribahasa Melayu, mencegah lebih baik dari mengubati perlu diamalkan oleh MBSP iaitu pokok ditebang bagi mengelak ia tumbang dan mencederakan penduduk yang menetap di sekitar kawasan terbabit.

Harapan saya, semoga isu ini dapat diatasi secepat mungkin supaya penduduk yang sedang berada dalam kerisauan berasa sedikit lega.

Kerajaan telah menghebahkan konsep Malaysia Madani supaya rakyat sentiasa hidup dalam keadaan selamat dan sejahtera di negara ini termasuk di dalam kawasan yang ditadbir oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Utamakan keselamatan dan kebersihan demi rakyat. – UTUSAN

REDWAN ADNAN, Perai, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya