Pendidikan bukan macam keluar duit KWSP - Utusan Malaysia

Pendidikan bukan macam keluar duit KWSP

KEMAHIRAN berfikir aras tinggi (KBAT) yang diajar kepada murid bermatlamat menjadikan pendidikan di negara ini antara yang terbaik di dunia. – GAMBAR HIASAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SUATU ketika dahulu, seorang ibu berkongsi di Facebook berhubung rasa bimbangnya terhadap latihan Matematik tahun satu berasaskan kemahiran ber­fikir aras tinggi (KBAT) terlalu sukar untuk diselesaikan anaknya yang dianggapnya bertaraf ‘kayangan.’

Walaupun terdapat perasaan tidak berpuas hati segelintir ibu bapa, KBAT yang sudah menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara sejak 2013 perlu diteruskan. Ini kerana majoriti ibu bapa tidak merungut, mungkin anak-anak mereka dapat menjawabnya.

KBAT juga selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bermatlamat menjadikan pendidikan di negara ini antara terbaik di dunia.

Matlamat itu tidak mustahil dicapai kerana Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, 17 Februari lalu menegaskan kurikulum persekolahan di Malaysia setanding dengan negara lain dan bukanlah terlalu sukar seperti didakwa.

Katanya, kesimpulan itu dibuat setelah Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan kajian perbandingan kurikulum persekolahan di Singapura, Australia, Jepun, United Kingdom dan Finland.

Jaminan itu diberikan apabila terdapat dalam kalangan ahli Parlimen yang meluahkan kebimbangan tahap silibus mata pelajaran untuk murid tahun satu terlalu tinggi berbanding usia mereka.

Janganlah ibu bapa terlalu mahu senang dalam soal pendidikan sepertimana mereka mahu mendapat wang secara mudah dengan mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apabila terdesak.

Minda anak-anak jika diasah dengan pembelajaran KBAT sejak kecil boleh menjadi kanak-kanak yang bijak. Sebab itu, kemahiran sedemikian perlu diteroka dari sekolah rendah lagi.

Ibu bapa juga perlu mengambil tahu tahap penguasaan anak-anak di sekolah. Bagi yang tidak cemerlang, ibu bapa harus memastikan anak-anak mengulang kaji pelajaran di rumah dan tidak menyerahkan segala-galanya kepada guru.

Bagi membiasakan murid dengan KBAT, maka guru hendaklah sentiasa memberikan soalan-soalan berbentuk sedemikian.

Semakin banyak soalan jenis itu diberikan, lebih mudah murid menguasainya. Murid juga perlu digalakkan menyertai aktiviti melibatkan penyelesaian masalah.

Keadaan ini akan menggalakkan murid cenderung menggunakan kemahiran menganalisis, mensintesis dan menilai konsep sesuai yang boleh diguna pakai untuk menyelesaikan masalah.

Selain matlamat menjadikan pendidikan di negara ini antara terbaik dunia dengan melaksanakan KBAT, terdapat beberapa perkara lain perlu diberi perhatian. Antaranya meningkatkan budaya membaca dalam kalangan murid.

Amalan membaca dapat memastikan murid dihasilkan menerusi sistem pendidikan kebangsaan dapat menjadi insan seimbang yang mampu berfikiran kritis, mempunyai nilai empati tinggi dan berpengetahuan. – UTUSAN

GURU SEKOLAH, Sitiawan, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya