SAUDARA PENGARANG,
KESEDARAN mengenai kesihatan mental semakin penting dalam kalangan pemimpin organisasi dan masyarakat di Malaysia.
Hal ini kerana keadaan ekonomi, sosial dan politik semasa yang mencabar memerlukan pemimpin yang berdaya tahan dan berupaya menguruskan tekanan dengan baik.
Pemimpin yang peka terhadap kesihatan mental dapat mencipta persekitaran yang positif di mana pekerja dan rakyat dapat berasa selamat dan terjamin.
Ini dapat mengelak berlaku tekanan, kecemasan dan kemurungan yang dapat mempengaruhi produktiviti dan kesejahteraan pekerja dan rakyat.
Kesedaran mengenai kesihatan mental juga penting dalam menjaga kestabilan organisasi. Kebanyakan ketua menghadapi tekanan untuk mencapai sasaran kewangan dan organisasi.
Tekanan ini seringkali menyebabkan ketua mengabaikan keperluan kesihatan mental mereka sendiri dan juga pekerja. Ketua yang tidak berdaya tahan terhadap tekanan ini boleh mempengaruhi prestasi dan kestabilan organisasi.
Dalam keadaan mencabar, pemimpin atau ketua yang berupaya menguruskan kesihatan mental dengan baik akan dapat menghasilkan keputusan yang lebih baik dan mengatasi masalah dengan lebih efektif.
Mereka juga dapat memberi contoh yang baik kepada pekerja dan rakyat tentang pentingnya menjaga kesihatan mental.
Oleh itu, kesedaran kesihatan mental dalam kalangan pemimpin perlu ditingkatkan. Perlu ada latihan dan pelbagai sistem sokongan untuk membantu pemimpin memahami bagaimana menguruskan tekanan dan mencapai keseimbangan dalam hidup.
Latihan dan pendidikan mengenai kesihatan mental juga boleh menyediakan pemimpin dengan pengetahuan yang diperlukan untuk mengenal pasti tanda-tanda masalah kesihatan mental pada diri sendiri dan pekerja serta memberi sokongan yang sesuai.
Pemimpin juga juga boleh memastikan ada akses kepada sumber bantuan dan rawatan kesihatan mental yang berkualiti.
Oleh itu, adalah penting bagi pemimpin untuk memberi tumpuan kepada masalah kesihatan mental dan memastikan ia menjadi satu agenda penting dalam organisasi dan masyarakat.-UTUSAN
MOHAMMAD
NOORIZZUDDIN NOOH
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)