SAUDARA PENGARANG,
SAYA menulis untuk memberi respons kepada tulisan Mohd. Ayop Abd. Razid yang disiarkan dalam ruangan ini pada 15 April lalu dengan tajuk Terap adab, akhlak dari sekolah lagi.
Tulisan beliau berkenaan kepentingan adab dalam pendidikan sekolah sungguh tepat kerana pembentukan adab perlu dimulakan lebih awal khususnya di sekolah. Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Takrifan adab sebagai kita meletakkan dan memuliakan sesuatu pada kedudukan sewajarnya masih memerlukan huraian.
Di sinilah peranan pendidikan untuk menyampaikan maksud memuliakan dan meletakkan sesuatu pada kedudukan sewajarnya.
Seorang kanak-kanak tidak mampu untuk membezakan antara baik dan buruk. Mereka perlu diasuh dan dibimbing.
Maka, proses tadib (pembentukan adab dan akhlak yang baik) perlu dilaksanakan untuk menggalakkan kanak-kanak melakukan perkara baik dan mencegah daripada melakukan perkara buruk.
Dalam pendidikan, dua pendekatan seimbang perlu dilaksanakan. Pertama, memberi galakan dan keduanya, memberi ancaman.
Sekiranya hanya satu pendekatan diutamakan, contohnya galakan atau ancaman, maka objektif tadib tidak akan berjaya.
Kedua-duanya adalah seumpama sekeping duit yang mempunyai dua permukaan saling memerlukan. Meskipun demikian, proses tadib juga tidak berfungsi secara terasing dari dunia luar.
Tidaklah bermakna sekiranya seorang kanak-kanak diajar dan dibimbing dengan benar di dalam pagar sekolah tetapi apabila keluar di luar, realiti adalah sebaliknya.
Inilah yang akan menimbulkan kekeliruan dan krisis identiti. Ringkasnya, penerapan tadib memerlukan usaha kolektif iaitu para pendidik, ahli masyarakat dan keluarga. Setiap ahli masyarakat boleh berperanan dengan baik bagi merealisasikan maksud ini.
Setiap individu yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat perlu menggembleng tenaga secara sinergi dengan menjadikan tadib itu sebagai tanggungjawab sosial. – UTUSAN
PROFESOR DR. AZMAN CHE MAT, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu