Pembaziran makanan rencat kemuliaan Ramadan - Utusan Malaysia

Pembaziran makanan rencat kemuliaan Ramadan

MENGURANGKAN pembaziran makanan pada bulan Ramadan boleh dicapai melalui perancangan yang betul. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RAMADAN adalah bulan yang memberi pengajaran tentang kesusahan dialami masyarakat kurang berkemampuan. Ibadat ini mengajar umatnya agar bijak mengawal nafsu dari segala segi.

Bagaimanapun, masih ramai gagal menghayati matlamat bulan mulia ini khususnya dari aspek pembaziran makanan.

Terdapat beberapa punca pembaziran makanan ketika Ramadan. Salah satu sebab utamanya ialah kecenderungan untuk melebihkan stok barangan makanan sebelum Ramadan bermula.

Ini membawa kepada lebihan makanan dalam isi rumah, yang sering mengakibatkan kerosakan akibat penyimpanan atau pengendalian yang tidak betul.

Di samping itu, semasa berbuka puasa, terdapat tekanan budaya untuk menyediakan pelbagai hidangan, menyebabkan lebihan makanan yang sering tidak dimakan.

Terdapat segelintir individu cenderung untuk melebih-lebihkan jumlah makanan yang mereka boleh makan selepas seharian berpuasa, seolah-olah membalas dendam seharian tidak mengisi perut.

Amalan ini mengakibatkan sisa makanan yang akhirnya dibuang. Pastinya kurang kesedaran dan pendidikan mengenai pembaziran makanan pada Ramadan memburukkan lagi isu tersebut.

Pembaziran makanan juga meningkat disebabkan oleh banyaknya makanan dan minuman yang disediakan untuk berbuka puasa dan sahur.

Walaupun niat asalnya ingin menjana ekonomi setempat khususnya memberi peluang peniaga mendapat pendapatan tambahan.

Namun, keghairahan untuk mengaut pulangan yang tinggi, mengakibatkan peniaga menyediakan lambakan makanan tatkala mengetahui jumlah pesaing yang tinggi berniaga di tempat sama.

Sisa makanan merupakan penyumbang utama kepada pelepasan gas rumah hijau, yang mempercepatkan perubahan iklim. Penguraian sisa makanan di tapak pelupusan membebaskan metana, gas rumah hijau yang kuat ke atmosfera.

Selain impak alam sekitar, pembaziran makanan pada Ramadan juga bercanggah dengan prinsip bulan mulia termasuk kepentingan sedekah dan empati terhadap golongan kurang bernasib baik.

Menangani punca pembaziran makanan semasa Ramadan memerlukan gabungan kempen meningkatkan kesedaran, pendidikan tentang penyimpanan dan pengendalian makanan yang betul dan peralihan budaya ke arah amalan makanan lebih mampan.

Mengurangkan pembaziran makanan pada bulan Ramadan boleh dicapai melalui perancangan dan komunikasi yang betul seperti menyediakan jumlah makanan yang tepat, menggunakan sisa makanan dan menderma lebihan makanan kepada organisasi kebajikan.

Secara keseluruhannya, mengurangkan pembaziran makanan semasa Ramadan bukan sahaja selaras dengan nilai-nilai bulan mulia tetapi juga berfungsi sebagai langkah penting ke arah mengurangkan kesan alam sekitar akibat pembaziran makanan.

Bagi mengurangkan pembaziran makanan sepanjang Ramadan, beberapa penyelesaian boleh dicadangkan. Salah satu penyelesaiannya ialah merancang makanan dan membeli hanya bahan-bahan yang diperlukan untuk mengurangkan pembelian berlebihan.

Penyelesaian lain adalah dengan menderma lebihan makanan kepada golongan memerlukan. Ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran makanan tetapi juga memberi bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Selain itu, menggunakan lebihan makanan untuk mencipta hidangan baharu adalah cara yang berkesan untuk mengurangkan sisa makanan. – UTUSAN

MUHAMMAD HAFIZI ZAMRI & DR. MOHD HAFIZ ZULFAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya