SAUDARA PENGARANG,
IBADAH di bulan Ramadan bukanlah semata-mata amalan zahir, iaitu menahan diri daripada makan dan minum berserta hal lain yang boleh membatalkan puasa. Sebaliknya ia memiliki hikmah lebih besar, iaitu untuk menjinakkan hati manusia supaya tunduk kepada kehendak Ilahi yang selama ini dikawal nafsu sendiri. Sehubungan itu, mereka yang berjaya melaksanakan ibadah di bulan Ramadan dengan penuh ketulusan hati akan meraih pengampunan dosa seterusnya mengembalikan mereka kepada fitrah.
Kembali kepada fitrah ringkasnya kembalinya manusia kepada Allah SWT yang sebelum ini mungkin dilupakan, tidak dijadikan keutamaan atau tidak dilihat penting. Kembali itu pula dalam keadaan tulus sehingga dosa kesalahan lalu diampunkan oleh Allah yang Maha Penyayang seperti mana keadaan manusia dilahirkan tanpa dosa kepada-Nya.
Ibn Qudamah dalam karyanya al-Tawwabin menceritakan satu kisah tentang seorang lelaki yang sering melakukan dosa dan memerlukan bimbingan untuk menghentikan kesalahan tersebut. Lalu beliau menemui Syeikh Ibrahim bin Adham bagi mendapatkan kata nasihat kerana tidak mampu menahan diri melakukan maksiat.
Syeikh Ibrahim yang mendengar pengaduan lelaki tadi lantas menyatakan kepadanya jika dia dapat melaksanakan lima perkara, maka dia boleh berterusan melaksanakan maksiat semahunya, iaitu jika mampu makan dan minum rezeki yang bukan milik Allah, melakukan maksiat di dunia yang bukan ciptaan dan milik-Nya, melakukan maksiat di luar pengawasan dan pemerhatian Allah, menahan malaikat daripada mencabut nyawanya walau ajal telah datang bagi memberi kesempatan untuk bertaubat dan menghalang malaikat Zabaniyah daripada menyeksanya dalam api neraka.
Lelaki tadi memberi respons, kelimalima perkara itu sudah pasti tidak mampu untuk dilakukan. Lantas Syeikh Ibrahim memperingatkannya bahkan juga untuk kita semua bahawa tergamakkah kita derhaka kepada Allah dan dalam masa sama kita makan minum kurniaan-Nya serta tinggal penuh keselesaan di muka bumi ciptaan-Nya?
Kisah ini walau ringkas, namun cukup memberi kesedaran bahawa jika hati condong untuk melakukan kesalahan maka ingatilah lima perkara yang disebutkan di atas. Ini termasuklah menjaga diri hatta daripada melakukan dosa kecil.
Oleh itu, meraih fitrah di akhir Ramadan sehingga dengan itu melayakkan kita menyambut Hari Raya Aidilfitri ialah dengan berusaha memanfaatkan masa bermuhasabah dan bertaubat kepada Allah SWT. Taubat merupakan pintu awal manusia untuk kembali kepada-Nya. Ia bermula dengan meninggalkan dosa yang dilakukan, menyesali kesalahan tersebut dan seterusnya berazam dengan penuh tekad untuk tidak mengulanginya lagi.-UTUSAN
DR. MOHD KHAIRUL NAIM CHE NORDIN
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya