Masih wujud diskriminasi dalam pendidikan di sekolah? - Utusan Malaysia

Masih wujud diskriminasi dalam pendidikan di sekolah?

DISKRIMINASI yang berlaku di sekolah berkait rapat dengan amalan polisi pendidikan. – GAMBAR HIASAN/SHAHIR NOORDin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DISKRIMINASI sama ada secara langsung atau tidak langsung yang menjadi amalan serta budaya di sebuah institusi boleh memberi kesan negatif kepada minat, motivasi dan pencapaian murid serta guru.

Antara kesannya daripada perbuatan itu adalah merendahkan rasa nilai dan keyakinan diri, menggugat pencapaian pembelajaran, melebarkan jurang antara satu sama lain serta memberi kesan psikososial seperti pengasingan diri dari komuniti dan masyarakat.

Dalam amalan pendidikan kita seharian, tidak dapat dinafikan kewujudan amalan dan unsur-unsur diskriminasi khasnya di sekolah. Perkara ini pahit untuk ditelan tetapi perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib agar amalan yang menjurus kepada diskriminasi dapat dikekang.

Diskriminasi berlaku berkait rapat dengan polisi pendidikan itu sendiri. Sebagai contoh, polisi bahasa pengantar untuk mata pelajaran Sains dalam bahasa Inggeris di bawah polisi Program Dwibahasa (DLP), khasnya di sekolah menengah. Terdapat sekolah yang hanya menawarkan kelas aliran sains dalam bahasa Inggeris.

Keadaan ini secara jelas telah menyekat pelajar yang ingin mengambil aliran sains dalam bahasa Melayu sehingga memaksa murid untuk mengubah ke aliran lain yang diajar di dalam bahasa Melayu.

Sekiranya dasar DLP ingin diteruskan, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memastikan setiap sekolah menawarkan program tersebut dalam dua bahasa pengantar.

Bahkan polisi penempatan murid dalam kalangan anak guru perlu diperhalusi demi mengelakkan amalan pilih kasih serta memastikan tidak berlaku konflik kepentingan. Sering terdengar rungutan ibu bapa mengenai pemilihan murid sama ada dalam perjawatan mahupun penglibatan aktiviti akademik atau kokurikulum dengan mengutamakan anak guru.

Seterusnya, diskriminasi yang terkait dengan polisi pemakaian kurikulum dan silibus yang berat dan tidak bersesuaian dengan tahap intelektual murid serta keupayaan guru boleh memberi bebanan kepada psikologi dan minda.

Bilangan subjek banyak dan kandungan silibus berat yang diajar dalam tempoh waktu singkat tanpa kesediaan sepenuhnya daripada guru berikutan kekangan masa atas bebanan tugas menyebabkan murid hilang motivasi untuk belajar dan seterusnya tercicir dari pembelajaran.

Amalan tadbir urus di sekolah juga perlu diberi perhatian kerana ia juga mempunyai ruang diskriminasi. Pengkelasan murid mengikut tahap pencapaian akademik boleh menyekat peluang dan hak sama rata.

Hal ini membolehkan fokus diberikan hanya kepada murid cemerlang sedangkan murid di kelas hujung juga mempunyai hak untuk maju dan mendapat yang terbaik dalam pendidikan. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. ZUWATI HASIM, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya