SAUDARA PENGARANG,
TELAH lama serangan strok dan jantung menjadi punca kematian nombor satu negara. Malah lebih membimbangkan, ia telah mula menyerang ramai golongan muda berumur bawah 40 tahun.
Tentunya tiga faktor utama yang menyumbang kepada masalah ini adalah amalan pemakanan yang kurang sihat, tekananan mental yang tinggi, serta kurang melakukan aktiviti fizikal. Keadaan ini menyumbang kepada tekanan darah tinggi dan seterusnya menggalakkan pembentukan plak kolesterol pada salur darah.
Lambat laun plak ini akan menebal dan mampu menjadi pembunuh senyap apabila lapisan atas plak kolesterol pecah dan menyekat terus aliran darah sampai pada bahagian tertentu pada otak atau otot jantung seterusnya mengakibatkan serangan berlaku.
Malangnya, plak kolesterol yang terbentuk ini hampir tidak boleh dihapuskan sepenuhnya. Namun, jika terdapat tanda-tanda seperti tekanan darah menjadi tinggi (bacaan < 140/90 mmHg), maka wajarlah untuk seseorang itu mengambil pendekatan kawalan pemakanan supaya keadaan tidak terus mengancam nyawa.
Untuk itu, puasa di bulan Ramadan sebenarnya adalah peluang terbaik untuk kita mulakan langkah baharu bukan sahaja untuk mengawal pemakanan tetapi aktif melakukan aktiviti fizikal demi mengurangkan risiko serangan strok dan jantung.
Justeru, pemilihan makanan yang berserat tinggi semasa bersahur dan berbuka amat penting.
Makanan berserat tinggi atau rendah indeks glisemik (makanan GI antara 1-55) seperti oat, biji chia, brokoli, roti bijirin penuh, beras perang, kismis, kurma, kekacang, jagung, pisang, lobak dan banyak lagi akan membuatkan anda kenyang dalam tempoh yang lama selain mengambil makanan yang mengandungi omega-3 dan 6.
Selain itu, tumpukan pada aktiviti intensiti rendah dengan kadar denyut jantung 60-70 peratus dari maksimum. Lakukan dalam tempoh sekurang-kurangnya 40 minit ke satu jam. Lebih lama tempoh senaman dibuat, lebih banyak lemak yang digunakan. Melalui aktiviti ini juga mampu mempercepatkan penghasilan kolesterol baik (HDL) oleh hati berbanding jika tiada aktiviti fizikal dilakukan.
Amat disarankan untuk seluruh rakyat Malaysia tidak kira apa jua kepercayaan agama dan budaya dengan menjadikan bulan Ramadan ini sebagai langkah mula untuk amalan puasa demi kesihatan jantung dan salur darah yang berpanjangan.-UTUSAN
DR. MOHAMED NASHRUDIN NAHARUDIN
Fakulti Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya