SAUDARA PENGARANG,
PERMAINAN dalam talian dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat seluruh dunia dan dijangka akan terus meningkat mencecah 2.7 bilion pengguna.
Pendedahan terhadap permainan ini ekoran perkembangan zaman dan teknologi yang kian memuncak meskipun melibatkan masyarakat di negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim seperti Malaysia, Indonesia, Turkiye dan pelbagai lagi.
Berdasarkan data yang dikeluarkan WePC menyatakan jumlah pemain pada 2021 adalah sebanyak 2.7 bilion berbanding 2014 sebanyak 1.8 billion.
Terdapat beberapa kandungan permainan video yang memberikan manfaat buat pemain seperti mengasah minda serta kemahiran diri, mewujudkan kerja berpasukan, menambah kenalan dan apa yang lebih menarik menjana pendapatan.
Walau bagaimanapun, setiap produk yang dicipta tidak bebas daripada sebarang implikasi negatif meskipun bersifat pasif sekiranya digunakan melangkaui batasan yang telah ditetapkan.
Pada 2013, Persatuan Psikiatri Amerika (APA) merekodkan lebih daripada 250 kajian telah dihasilkan berkaitan ketagihan permainan video dalam talian yang melibatkan golongan remaja dan dewasa.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah mengklasifikasikan Gangguan Permainan Internet (IGD) sebagai salah satu isu dalam Klasifikasi Penyakit Antarabangsa (ICD-11).
Ini menunjukkan bahawa penumpuan terhadap permainan ini secara tidak terkawal boleh memberi kesan negatif seperti melahirkan individu antisosial, mendatangkan kemurungan, menghilangkan tumpuan terhadap kerja dan sebagainya.
Dalam hal ini, Imam al-Syafie dalam karyanya al-Fiqh al-Manhaji menyatakan “Sekiranya sesuatu permainan mengambil masa yang lama sehingga menyebabkan pemain leka, maka hukumnya menjadi makruh. Manakala, jika permainan itu pula terlalu melekakan sehingga menyebabkan pemain mengabaikan beberapa tanggungjawabnya, hukumnya menjadi haram”.
Kesimpulannya, ketagihan permainan ini perlu ditangani sebelum semakin parah sehingga meninggalkan kesan kepada golongan pelajar dan kanak-kanak selain dikhuatiri memudaratkan masa depan seseorang dari sudut kesihatan fizikal, psikologi mahupun spiritual.-UTUSAN
MUHAMMAD HAZIQ IKHMAL HUZAIRI & DR. MOHD. SYUKRI ZAINAL ABIDIN
Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam,
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya