SAUDARA PENGARANG,
UMUM mengetahui masyarakat dikategorikan kepada golongan berpendapatan rendah (B40), sederhana (M40) dan tinggi (T20).
Jikalau pendapatan isi rumah RM4,850 sebulan dan ke bawah, keluarga terbabit termasuk dalam senarai golongan B40.
Bagi isi rumah dengan pendapatan antara RM4,851 sehingga RM10,970 sebulan adalah dalam kategori M40.
Golongan teratas T20 ini ialah orang kaya yang mana pendapatan isi rumah setiap bulan melebihi RM10,971.
Banyak keistimewaan diberikan kepada golongan B40 seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023 yang tidak dapat disangkal dan dipertikaikan lagi.
Antaranya, layak menerima sumbangan hingga RM2,500 di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bergantung pada bilangan anak.
Kerajaan juga memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Sumbangan itu akan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan baucar untuk barangan makanan asas bernilai RM600.
Kerajaan juga memperkenalkan Skim Perubatan Madani untuk B40 bagi membolehkan golongan miskin mendapatkan rawatan dari klinik swasta, dengan RM120 juta diperuntukkan.
Namun begitu, pernahkah diperhalusi bahawa ada antara golongan M40 dan T20 sebenarnya pada 20 hingga 30 tahun lepas merupakan golongan yang lebih susah daripada B40?
Suka untuk saya kongsikan bahawa 20 hingga 30 tahun lalu ketika mereka berusia tujuh tahun, sebilangan golongan M40 dan T20 pada masa kini telah melalui fasa makan nasi dengan garam, berjalan sejauh antara tiga hingga lima kilometer ke sekolah, tiada komputer apatah lagi ruang belajar.
Mereka mempunyai bilangan adik-beradik yang ramai, hanya ayah bekerja dan ibu suri rumah dengan pendapatan isi rumah ketika itu di bawah RM800.
Tidak terhenti di situ, sudahlah susah, anak ramai, wang tidak cukup, kais pagi makan hingga ke petang, kemasukan ke sekolah berasrama penuh ketika itu juga amatlah susah. Tiada bantuan diberikan secara khusus kepada golongan itu pada masa tersebut.
Justeru, golongan itu meneruskan dan menamatkan pengajian di sekolah aliran biasa berhampiran kediaman keluarga, terus membantu ibu dan ayah dengan bekerja sambilan dan yang berjaya meneruskan hidup serta dapat melanjutkan pengajian ke universiti.
Atas alasan desakan hidup, sebagai anak, mereka berjuang habis-habisan dengan prinsip agar suatu hari nanti dapat mengubah hidup keluarga.
Syukur, oleh kerana mereka telah berusaha sedaya upaya mencari ‘jalan keluar’ daripada kehidupan susah yang dilalui ketika itu, akhirnya berjaya dan membantu ibu dan ayah serta adik-beradik lain.
Dan sebilangan daripada mereka yang susah dahulu inilah dikategorikan sebagai golongan M40 dan T20 pada era kini. Namun, ujian menimpa anak-anak yang telah lahir dalam golongan M40 dan T20 ini.
Mereka terbatas dalam beberapa ruang serta peluang seperti kemasukan ke sekolah berasrama penuh, biasiswa dan tajaan ke luar negara atas faktor pendapatan seisi keluarga mereka di bawah kategori M40 dan T20.
Mereka telah berusaha untuk hidup sedikit selesa daripada kehidupan lalu, namun kini mereka terpaksa menempuh ‘kepayahan’ yang sama bagi pihak anak-anak mereka. – UTUSAN
DR. FARIHANA ABDUL RAZAK, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Tapah