SAUDARA PENGARANG,
KOKURIKULUM yang merupakan aktiviti bukan akademik mesti disertai oleh semua mahasiswa sebagai kaedah untuk meningkatkan interaksi sosial, kepemimpinan, rekreasi yang sihat, disiplin dan keyakinan diri.
Kokurikulum adalah sebahagian pendidikan informal terdiri daripada kegiatan belajar bersifat sukarela dan dimotivasi oleh rasa ingin tahu, penerokaan, penyelesaian tugas dan interaksi sosial.
Antara kursus kokurikulum ialah kemahiran hidup. Kursus ini mendedahkan pelajar kepada asas ilmu kemahiran hidup dari segi teori dan praktikal bagi membentuk kualiti sikap dan keazaman positif. Kursus lain ialah keusahawanan dan perniagaan tani.
Dalam konteks pendidikan tinggi di negara ini, pengenalan kursus kokurikulum dalam talian sebelum pandemik Covid-19 adalah terhad.
Namun, setelah negara dilanda pandemik, universiti awam memperkenalkan dan memperluaskan penggunaan teknologi pendidikan untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) termasuk kursus kokurikulum dalam talian.
Memandangkan kursus kokurikulum berkredit merupakan antara syarat wajib di semua universiti awam, maka sebarang penangguhan sesi kursus itu bakal memberikan kesan terhadap tempoh bergraduasi para pelajar.
Pengaplikasian PdP kokurikulum secara maya memerlukan jurulatih dan pelajar sama-sama berkongsi kemahiran dan pengetahuan.
Sehubungan itu, semua universiti mengambil beberapa pendekatan termasuk memberikan latihan intensif kepada jurulatih berkaitan kaedah untuk menyampaikan maklumat PdP secara berkesan.
Dilihat secara lebih mendalam, antara rasional di sebalik pengenalan kursus kokurikulum dalam talian adalah untuk membolehkan pelajar mengambil bahagian dengan lebih mudah dan fleksibel.
Pelajar juga boleh mengambil bahagian dalam kursus kokurikulum yang mungkin tidak tersedia di kampus mereka atau tidak dapat dihadiri secara fizikal kerana kekangan jarak dan waktu.
Selain itu, pengenalan kursus kokurikulum dalam talian juga bertujuan meningkatkan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum, meningkatkan kebolehpasaran pelajar dan membantu pelajar mengembangkan kemahiran teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
Namun, terdapat beberapa cabaran dalam pelaksanaan kursus kokurikulum dalam talian termasuk berkaitan teknologi, aksesibiliti, pembelajaran, penilaian dan pengiktirafan.
Oleh itu, pengenalan dan pelaksanaan kursus kokurikulum dalam talian perlu dibuat secara bersepadu dan terencana dengan baik untuk memastikan keberkesanan dan keberhasilannya.
Para jurulatih perlu sentiasa kreatif dalam melaksanakan PdP kepada pelajar. Justeru, memahami dan mengenali sebaik mungkin para mahasiswa adalah satu kelebihan besar dalam memastikan PdP kursus kokurikulum dapat dimanfaatkan secara maksimum.
Penting untuk diingatkan bahawa pelaksanaan kursus kokurikulum dalam talian bukanlah pengganti pengalaman kokurikulum tradisional (bersemuka).
Kursus kokurikulum dalam talian mungkin tidak dapat memberikan interaksi sosial langsung dan pengalaman praktikal yang sama diperoleh melalui kokurikulum tradisional.
Oleh itu, pelaksanaan kursus kokurikulum dalam talian haruslah dianggap sebagai tambahan kepada pengalaman kokurikulum tradisional dan bukan sebagai pengganti. – UTUSAN
DR. MOHAMAD ZAKI AHMAD, Pengarah Pusat Kokurikulum, Universiti Utara Malaysia (UUM)