Kajian alam sekitar tidak menyeluruh, boleh dipersoal

Kajian alam sekitar tidak menyeluruh, boleh dipersoal

KAJIAN RimbaWatch hanya bersandarkan kepada kaedah kajian (metodologi) yang terhad tetapi tidak disiplin ilmu dalam bidang Sains Perhutanan, Geografi dan bidang-bidang tertentu yang lain. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini sebuah kumpulan alam sekitar, RimbaWatch mendedahkan kajian kehilangan hutan di Malaysia tetapi didapati dapatan kajian tersebut tidak menyeluruh dan boleh dipersoal.

Kajian tersebut hanya bersandarkan kaedah kajian (metodologi) yang terhad tetapi tidak kepada disiplin ilmu terutama dalam bidang Sains Perhutanan, Geografi dan bidang-bidang tertentu yang lain.

Antaranya ialah kajian kumpulan tersebut hanya menganalisa beberapa sumber iaitu daripada data yang dikumpulkan daripada laman web tertentu dan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) sahaja.

Malah kajian itu tidak menganalisa sumber data yang dikumpul dengan membuat perbandingan kajian di lapangan.

Kajian tersebut tidak menyatakan tempoh kajian yang menyebabkan kehilangan hutan seluas 2.3 juta hektar sedangkan berdasarkan sejarah alam semula jadi menunjukkan bahawa dahulu keseluruhan kawasan tanah di Malaysia dilitupi hutan.

Kajian berkenaan juga tidak menyeluruh kepada ekosistem hutan atau jenis-jenis hutan yang terdapat di Malaysia tetapi hanya tertumpu kepada jenis-jenis hutan tertentu sahaja.

Disamping itu, kajian kumpulan tersebut tidak menjelaskan takrifan atau istilah kehilangan hutan dalam konteks pengurusan hutan sama ada kehilangan hutan bermaksud disebabkan aktiviti pemusnahan litupan hutan (deforestation) sahaja atau termasuk aktiviti pembalakan yang mengamalkan Sistem Pengurusan Tebangan Memilih (SMS).

Kajian kumpulan tersebut didapati tidak menjelaskan perbezaan antara status, guna tanah dan zon kawasan berhutan.

Walau bagaimana pun, penulis bersetuju dengan gesaan kumpulan tersebut kepada kerajaan supaya menghentikan program pembangunan ladang monokultur (ladang hutan) dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Gesaan supaya kerajaan menghentikan program pembangunan ladang monokultur bukan pertama kali disuarakan oleh kumpulan tersebut malah pertubuhan-pertubuhan dan kumpulan-kumpulan alam sekitar lain pun lebih dahulu telah menyuarakannya.

Dalam pada itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad tidak seharusnya terus menerima bulat-bulat kajian kehilangan hutan yang dilakukan oleh kumpulan tersebut tanpa memperhalusi dan merujuk kepada agensi-agensi teknikal yang berkaitan.

Sekiranya menteri terus menerima bulat-bulat kajian daripada kumpulan tersebut seolah-olah membelakangkan kemampuan dan menjejaskan kredibiliti agensi-agensi teknikal yang berkaitan malah boleh menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.-UTUSAN

MEOR RAZAK MEOR ABDUL RAHMAN
Aktivis Alam Sekitar

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya