Jangan jumpa doktor gigi hanya kerana sakit - Utusan Malaysia

Jangan jumpa doktor gigi hanya kerana sakit

BERJUMPALAH dengan doktor gigi dengan kerap, sekurang-kurangnya sekali setahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TANYALAH kepada sesiapa pun mengenai keadaan kesihatan dan kebarangkaliannya mereka akan bercakap mengenai langkah yang telah diambil bagi mengelak penyakit jantung atau kencing manis.

Jarang individu terbabit bercakap mengenai langkah bagi menjaga kesihatan mulut yang selalunya melibatkan dua jenis penyakit utama iaitu karies (gigi berlubang atau mereput) dan penyakit periodontal (gusi).

Menurut Kajian Kesihatan Pergigian Kebangsaan Dewasa (NOHSA) pada 2010, kira-kira 90% daripada populasi dewasa Malaysia mengalami penyakit gusi ringan dan teruk, manakala 88.9% mengalami karies gigi.

Akibat buruk daripada kelemahan penjagaan mulut adalah seseorang itu akan mengalami ketidakselesaan dan kesakitan yang boleh menjejaskan tidur, produktiviti dan kualiti hidup serta kesukaran untuk makan yang boleh menyebabkan kekurangan zat makanan.

Untuk mengatasinya, kita harus menjalani gaya hidup sihat. Tabiat seperti kerap mengunyah snek dan makan banyak makanan manis serta melekit hanya menyumbang kepada pembentukan plak dan kaviti, selain menjurus kepada keadaan kesihatan kronik seperti diabetes dan obesiti.

Masalah kesihatan mulut boleh dicegah melalui penjagaan dan penyelenggaraan harian yang betul seperti memberus gigi dua kali sehari yang dapat menghentikan penyakit daripada memburuk dari peringkat awal.

Perlu juga pemeriksaan berkala untuk mengesan masalah lebih awal. Berjumpalah doktor gigi dengan kerap, sekurang-kurangnya sekali setahun dan bukannya apabila sakit gigi atau ada luka pada rongga mulut. Pencegahan boleh membantu kita mendapat kesihatan mulut yang baik.

Bagi mereka yang mempunyai kekangan kewangan, penjagaan pergigian berasaskan komuniti mampu milik ada disediakan secara meluas. Kini terdapat 1,670 kemudahan pergigian termasuk klinik pergigian mudah alih di seluruh negara. – UTUSAN

PROFESOR DR. SEOW LIANG LIN, Dekan Fakulti Pergigian, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya