SAUDARA PENGARANG,
MASYARAKAT Melayu kaya dengan pelbagai tradisi berasaskan ajaran Islam. Antaranya, tradisi ziarah-menziarahi ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Tradisi yang berakar kuat ini diinspirasikan daripada anjuran sunnah Nabi SAW.
Pada dasarnya, tujuan kunjung-mengunjungi ini adalah untuk bertanya khabar dan merapatkan silaturahim di samping bagi mengelak terputusnya hubungan kekeluargaan, persaudaraan dan persahabatan.
Sebagai orang yang menziarahi, terdapat beberapa adab sopan sebagai tetamu. Pertama, meminta izin atau memaklumkan kepada tuan rumah sebelum bertandang ke rumahnya. Namun, ia bergantung kepada uruf setempat. Ini kerana bagi sesetengah tuan rumah, hari raya ibarat rumah terbuka dan kehadiran tetamu dialu-alukan tanpa sebarang janji temu dan makluman awal.
Juga menghormati tuan rumah dan tidak berkelakuan kurang sopan. Ini termasuk memakai pakaian yang sesuai dan sopan agar tidak menyebabkan suasana tidak selesa di dalam rumah.
Selain itu, memilih masa ziarah yang sesuai agar tidak mengganggu waktu makan, waktu rehat, solat dan tidur tuan rumah.
Berkomunikasi dengan kesantunan budi Melayu agar kedua-dua pihak rasa selasa. Elakkan topik sensitif yang boleh menyebabkan terasa hati, isu hangat politik, rumah tangga orang lain dan topik yang mengaibkan atau menjatuhkan maruah dan tidak mengumpat atau menceritakan keburukan orang serta fitnah orang lain.
Topik-topik ini boleh mengundang dosa ‘kering.’ Nikmati minuman dan juadah makanan dihidangkan tanpa banyak karenah selain memanfaatkan masa yang dihabiskan. Berziarahlah dalam tempoh masa tidak terlalu lama hingga menimbulkan ketidakselesaan dan kegelisahan pada tuan rumah.
Dalam keseronokkan berkumpul, jangan lupa awasi pergerakan anak yang masih kecil agar tidak ada insiden menyebabkan kerosakan harta benda tuan rumah.
Jangan juga masuk ke kawasan-kawasan privasi bagi tuan rumah seperti dapur atau bilik tidur tanpa kebenaran.
Jangan lupa meminta izin tuan rumah jika ingin menggunakan bilik air atau tandas dan sebelum pulang, ucapkan terima kasih atas layanan diberikan.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD ANUAR RAMLI
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya