SAUDARA PENGARANG,
MASALAH kebolehpasaran graduan boleh menjadi barah jika tidak ditangani dalam keadaan ekonomi mencabar ini.
Ia pasti merugikan apabila pelaburan dalam pendidikan tinggi tidak dapat memperkasakan ekonomi negara. Masalah kebolehpasaran graduan juga boleh menggugat kestabilan politik negara.
Provokasi daripada pihak yang menangguk di air keruh mewujudkan persepsi negatif terhadap kerajaan seterusnya menyebabkannya dilihat sebagai tidak efisien dalam pentadbiran.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, baru-baru ini ketika menyaksikan perjanjian persefahaman di antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengakui kebolehpasaran graduan merupakan isu penting dan cabaran kepada kementeriannya.
Selaras dengan inisiatif meningkatkan kebolehpasaran graduan, KPT dan SC bekerjasama memperkenalkan program Graduan Pasaran Modal (CMGP) untuk memperkasa graduan dengan pengetahuan dan kefahaman mengenai pasaran modal.
Mahasiswa perlu menyambut baik dan mengambil peluang untuk manfaat diri mereka. Dalam hal ini, Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut memainkan peranan menyediakan graduan berkemahiran dan memenuhi keperluan industri pasaran modal.
Seperti diketahui umum, UiTM merupakan satu-satunya universiti di Malaysia yang menyediakan program berkaitan pasaran modal atau pelaburan di peringkat pengajian diploma dan ijazah.
Dalam hal ini, UiTM sentiasa memastikan program yang ditawarkan relevan dengan keperluan industri pasaran modal termasuklah menjalinkan kerjasama dengan industri pasaran modal dan badan pengawal selia seperti SC dan Bursa Malaysia.
Peluang untuk belajar mengenai pasaran modal dan melakukan pelaburan dengan bijak dapat membantu graduan memenuhi permintaan pasaran pekerjaan yang kompetitif dan semakin kompleks. – UTUSAN
PROFESOR DR. MOHD. SAZILI SHAHIBI, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi Mara (UiTM)