SAUDARA PENGARANG,
TARIKH 1 Mei ini ialah Hari Pekerja yang disambut dengan penuh erti oleh pekerja di seluruh pelosok dunia bagi memperingati perjuangan dan jasa golongan itu, di samping mengutarakan tuntutan mereka kepada majikan serta pemerintah.
Hari Pekerja juga adalah untuk memperingati kembali sejarah perjuangan pekerja yang dimulakan pada 1886 untuk menuntut kerja lapan jam sehari dan cuti satu hari dalam seminggu.
Perjuangan ini pada asalnya bermula di Amerika Syarikat dan tarikh signifikan bermulanya perjuangan ini adalah 1 Mei.
Hasil daripada perjuangan berterusan ini, akhirnya pada 1919, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menerima waktu kerja lapan jam sehari sebagai piawaian sejagat dan tarikh 1 Mei diumumkan sebagai Hari Pekerja Sedunia.
Tema Sambutan Hari Pekerja yang dianjurkan oleh gabungan 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Jawatankuasa 1 Mei pada tahun ini ialah ‘Gaji Bermaruah, Jaminan Makanan’ dengan seruan mengatasi masalah kos sara hidup yang tinggi dan memberikan jaminan hidup lebih baik kepada pekebun kecil, petani dan penternak dengan tidak merampas tanah mereka.
Ini secara langsung dapat memastikan jaminan makanan untuk rakyat setempat. Tema ini dipilih kerana negara dan rakyat terjejas akibat pandemik Covid-19.
Pasca Covid-19 walaupun ekonomi negara sedang pulih, namun tidak dapat dinafikan kos sara hidup keluarga di Malaysia rata-rata terlalu tinggi.
Pendapatan rendah masih tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
Rakyat berpendapatan rendah (B40) terutamanya golongan pekerja, peniaga kecil, pelajar dan penganggur terjejas teruk akibat kos sara hidup sangat tinggi.
Isi rumah merasai tekanan kenaikan kos sara hidup bukan sahaja apabila harga meningkat tetapi juga apabila pendapatan tidak meningkat pada kadar sama.
Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar inflasi pada Februari 2023 adalah 3.7 peratus. Peningkatan ini didorong oleh kenaikan harga makanan dan minuman bukan alkohol (7%).
Mengikut Laporan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, RM75.54 bilion import makanan dicatatkan tahun lalu berbanding RM63.59 bilion pada 2021 dan RM55.4 bilion (2020).
Ini menunjukkan barangan makanan semakin banyak diimport dari luar negara tetapi pada masa sama di Malaysia, golongan pekebun kecil, penternak dan petani diancam pengusiran dari tanah yang diduduki.
Selain tuntutan utama, para pekerja juga mempunyai tuntutan lain termasuk melaksanakan Perintah Gaji Minimum 2022 secara menyeluruh tanpa sebarang penangguhan atau pemberian pengecualian kepada mana-mana syarikat.
Wujudkan Akta Pekerja Gig untuk menjamin kebajikan pekerja industri gig atau iktiraf mereka di bawah Akta Kerja 1955.
Pekerja migran harus diberikan hak saksama dan perlindungan mencukupi serta harus diiktiraf hak tanah adat orang asal di Malaysia.
Hentikan juga diskriminasi berasaskan gender, jantina dan orientasi seksual. Isytiharkan darurat iklim.
Mansuhkan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Hasutan 1948 serta segala undang-undang yang menindas rakyat dan menyekat kebebasan rakyat. – UTUSAN
PARAMEISWARY ELUMALAI, Penyelaras Jawatankuasa 1 Mei 2023