SAUDARA PENGARANG,
BAHASA Melayu tersebar ke seluruh dunia dari alam Melayu ini. Kemahiran berfikir aras tinggi jelas tersinar dalam manuskrip lama bahasa Melayu yang diperakui oleh cendekiawan sedunia.
Antaranya Salatus Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Hang Tuah dan Kitab Bedil diiktiraf sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Namun, pada hari ini apabila kita mendengar kata-kata bijak pandai dirujuk atau sebagai panduan, selalunya ia diambil daripada ungkapan bernas ahli pemikir dari dunia Barat! Plato? Winston Churchill? Shakespeare?
Di manakah mutiara kata dari Timur terutama negara kita sendiri? Tonggak budaya bermula dengan bahasa Melayu yang digunakan di rantau ini hampir 2,000 tahun lampau.
Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan di Malaysia dan juga Brunei, Indonesia (bahasa Indonesia), Singapura dan digunakan di beberapa negara Asia Tenggara lain.
Warisan bangsa ini tersurat dalam lebih 10,000 manuskrip menjadi khazanah di lebih 150 muzium dan perpustakaan tersohor dunia di Malaysia, Indonesia, Belanda dan Russia – tidak kurang 60 negara serata dunia.
Sebenarnya bukan mudah untuk satu bangsa di dunia ini mengumpul beribu manuskrip lama sebegini.
Satu khazanah yang tidak ternilai, namun kita masih tidak menghargainya sepenuh jiwa raga. Antara contoh bahasa Melayu tertua ialah Batu Bersurat Kedukan Bukit di Palembang, bertarikh 605 Tahun Saka bersamaan 683 Masihi.
Batu bersurat berkenaan ditulis dalam bahasa Melayu kuno menggunakan aksara Palava bagi titah diraja.
Di negara kita pula, Batu Bersurat Terengganu membuktikan kehadiran Islam dalam membentuk pemikiran, keilmuan dan perundangan lebih 700 tahun lampau di Semenanjung Tanah Melayu.
Tetapi kenapakah kita masih tidak mencari ilham daripada kata-kata semangat yang dituturkan oleh nenek moyang dan pemimpin kita terdahulu.
Ini tidak bermakna kita menidakkan ilmu serta ilham daripada ahli bijak pandai seluruh dunia. Cuma ketengahkan buah pemikiran bernas dari dunia Melayu.
Mutiara kata dari alam Melayu amat menusuk sanubari, selari dengan jiwa raga dan naluri kita. Ilmu lama cerminan intelektual tersimpan dalam manuskrip seperti Undang Kanun Melaka dan pelbagai kitab lama.
Ketinggian bahasa dicerminkan melalui pantun, gurindam, syair dan hikayat lama seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Malim Deman dan Panji Semirang.
Inilah kayu ukur ketamadunan kita yang sejati. Keadaan ini memanggil saya melengkapkan buku Mutiara Kata Alam Melayu. Saya berasa terharu dengan sokongan tokoh-tokoh sastera dan sejarah.
Seperti diulas oleh Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Salleh, “Usaha penting untuk memulihara kata-kata leluhur kita serta hablur-hablur bahasa yang bersinar terang dan menjelma sangat indah untuk renungan anak bangsa seterusnya agar sedar mereka mempunyai sastera yang tinggi, jiwa yang besar dan khazanah yang begitu bernilai.”
Adalah harapan saya kita akan bangkit di mata dunia sebagai bangsa yang kuat dan berwibawa. Buku kecil ini merupakan sumbangan saya demi bangsa dan negara pada bulan Ramadan ini. – UTUSAN
NINOT AZIZ, Pengarang dan penulis