SAUDARA PENGARANG,
MEMASUKI pertengahan Ramadan, semakin bergema pelbagai rungutan berkenaan peniaga bazar Ramadan di negara kita. Sejumlah kata nista dilemparkan terhadap mereka, terutamanya di media sosial, seolah-olah kita tidak berada di dalam bulan suci.
Kita begitu cepat melatah hanya kerana satu atau dua juadah yang dibeli di sana bermasalah dan tidak kena dengan selera kita, lantas segera menularkannya.
Salah satu rungutan utama adalah berkaitan dengan kenaikan harga juadah di sana. Ini adalah fakta yang tidak boleh dinafikan lagi. Kita dengan mudah menuduh mereka sebagai tamak dan mahukan untung besar, seolah-olah mahu naik haji secara balik hari.
Namun, adakah kita melihat faktor-faktor di sebalik kenaikan ini, terutamanya dari segi kos barangan mentah yang tidak pernah turun serta isu sewa tapak bazar yang sangat tinggi?
Pernahkah kita benar-benar mengira kos di sebalik penyediaan juadah berbuka di rumah kita sendiri? Adakah ia lebih berbaloi dan menjimatkan? Bagaimana pula dengan tenaga yang kita gunakan untuk memasak setelah seharian berpuasa dan pulang ke rumah seusai penat bekerja untuk menyediakannya?
Selain itu, kualiti makanan yang dijual menjadi tumpuan rungutan pengunjung bazar Ramadan ini. Tidak dinafikan memang terdapat sejumlah juadah yang sudah rosak, basi, masam, berkulat dan sebagainya.
Namun, adakah adil hanya kerana kerenah satu dua peniaga, kita terus melabel kesemua mereka sebagai tidak jujur? Adakah adil bila kita terus menularkan keadaan buruk juadah ini serta peniaganya tanpa menyiasat terlebih dahulu apa yang berlaku?
Mungkin peniaga juga tidak tahu akan keadaan juadah ini, terutamanya yang telah dibungkus terlebih dahulu. Terlalu susahkah untuk bercakap dengan peniaga ini tentang kualiti juadahnya pada hari seterusnya sebelum menularkannya?
Kenyataannya, kita terlalu percaya hanya dengan ketularan sesuatu tindakan akan berlaku. Ya mungkin hal ini ada benarnya. Lalu kita pun berasa puas dapat menularkan satu perkara kurang bernasib baik yang berlaku kepada satu juadah yang kita beli.
Kita seolah-olah terlupa terdapat berjenis-jenis lagi juadah yang dibeli di sana yang sangat enak dan memuaskan nafsu makan kita dan tidak bermasalah langsung.
Kita juga langsung tidak memikirkan kesan buruk ketularan yang tidak semena-mena ini. Orang ramai mungkin akan keberatan untuk berkunjung ke bazar Ramadan lagi, lantas memberi kesan ketara kepada sumber rezeki para peniaga yang lain.
Semua ini sebenarnya hanya menunjukkan betapa terhakisnya semangat sebenar Ramadan dalam kalangan rakyat Malaysia. Bukan kita tidak boleh menyuarakan rungutan dan ketidakpuasan hati kita, tetapi biarlah berpada-pada.
Janganlah sehingga memalukan para peniaga ini, yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan sudah pun merendahkan maruah mereka untuk merayu pembeli memilih barang jualan mereka.
Tegur mereka secara baik dan berhemah tentang kekurangan barang jualan dan galakkan mereka untuk memperbaikinya.
Jangan hanya kerana kita punya banyak wang dan terlalu percaya kepada kata-kata ‘pelanggan adalah betul’, kita merendahkan mereka sesuka hati kita. Apakah ini yang diajar oleh agama kita?
Mungkin salah satu ujian terbesar kita di bulan ini adalah bazar Ramadan dan bagaimana kita menghadapinya. Justeru, marilah kita bersikap lebih adil kepada peniaga terbabit. – UTUSAN
MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak