SAUDARA PENGARANG,
TIDAK lama lagi seluruh umat Islam akan meraikan Hari Raya Aidilfitri. Secara tidak langsung, situasi kesesakan lalu lintas yang menjadi masalah tidak pernah dapat diselesaikan secara tuntas akan berulang.
Semua orang maklum bahawa masalah kesesakan lalu lintas ini banyak berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri, antaranya cuai atau lalai serta mementingkan diri sendiri.
Pujian patut diberikan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang telah menyediakan aplikasi MyJPJ yang membolehkan masyarakat melaporkan aduan kesalahan trafik terus kepada pihak JPJ.
Aplikasi yang diintegrasikan dengan maklumat lesen memandu dan cukai kenderaan merupakan inisiatif amat proaktif yang disediakan oleh pihak JPJ.
Di ruang e-Aduan@JPJ di aplikasi tersebut, disenaraikan semua aduan yang merupakan kesalahan utama pengguna jalan raya sehingga mengakibatkan kesesakan, antaranya memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, memotong garisan berkembar, gagal mematuhi lampu isyarat merah dan lain-lain.
Memandangkan kebanyakan kenderaan di Malaysia kini mempunyai kamera papan pemuka, JPJ sewajarnya mengadakan kempen menggalakkan orang awam menyalurkan maklumat berkaitan dengan semua kesalahan lalu lintas di aplikasi tersebut.
Secara tidak langsung, pemandu yang kerap melakukan kesalahan lalu lintas akan berfikir dua kali kerana berasakan setiap perilaku pemanduan mereka diperhatikan oleh orang lain melalui kamera.
Alangkah baiknya sekiranya setiap laporan aduan kesalahan trafik yang dikemukakan beserta dengan pelbagai bukti bergambar dan video diberikan ganjaran seperti “pengurangan bayaran cukai jalan” kepada setiap pemberi maklumat.
Langkah ini adalah selari dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang membolehkan pemberi maklumat diberikan ganjaran yang difikirkan bersesuaian. – UTUSAN
ANUAR M., Kuala Lumpur