Bebaskan generasi muda dari bahaya rokok dan vape

Bebaskan generasi muda dari bahaya rokok dan vape

KEMENTERIAN Pendidikan perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk membendung gejala ketagihan vape dalam kalangan pelajar sekolah melalui kempen kesedaran dan penguatkuasaan undang-undang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 27 Julai tahun lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Generasi Penamat (Generational Endgame; GEG) dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin. RUU ini diusul bermatlamat mengawal individu yang lahir dari 2007 dan selepasnya daripada terbabit dalam aktiviti merokok sama ada membeli, memiliki atau menggunakan rokok atau vape.

Namun keputusan Menteri Kesihatan yang baharu, Dr. Zaliha Mustafa di Parlimen baru-baru ini amat membimbangkan khususnya buat generasi muda terutama anak remaja yang masih di alam persekolahan. Langkah membuat pindaan pada Akta Racun 1952 dengan mengecualikan tampalan, cecair dan gel nikotin daripada senarai racun yang perlu dipantau oleh kerajaan melalui Warta Pindaan Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 yang telah ditandatangani pada 31 Mac 2023 akan membuka ruang penjualan dan penggunaannya secara meluas terutama kepada para pelajar tanpa sekatan.

Secara tidak langsung ini menjadikan penggunaan cecair nikotin bagi produk rokok elektronik dan vape tidak lagi dipantau di bawah Akta Racun 1952 dan membolehkan penjualannya kepada masyarakat kerana tidak lagi terikat kepada undang-undang.

Kebimbangan ini turut disuarakan pelbagai pihak terutama pakar-pakar perubatan, ahli farmasi dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dari sudut psikologi, ketagihan vape dengan dos nikotin berlebihan boleh mengakibatkan risiko kesihatan mental seperti gangguan emosi, kemurungan, tekanan dan kebimbangan. Perkara ini jika tidak ditangani oleh semua pihak akan mengundang masalah pada generasi muda khususnya yang berada di alam persekolahan. Negara akan kehilangan generasi yang berkualiti untuk memimpin masa depan negara pada masa akan datang.

Sekolah sewajarnya menjadi tempat bebas rokok dan vape. Kementerian Pendidikan perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk membendung gejala ketagihan vape melalui kempen kesedaran dan penguatkuasaan undang-undang.

Penghayatan agama dan penekanan konsep melahirkan murid ABC (anak yang baik lagi cerdik) seperti yang dilaung-laungkan Kementerian Pendidikan perlu diterjemahkan dengan menolak sebarang usaha membiarkan penggunaan vape berleluasa.

Akta Generasi penamat Rokok dan Vape (GEG) perlu segera dilaksanakan demi menyelamatkan negara dari bahaya rokok dan vape kerana anak muda ini merupakan harapan dan bakal menyumbang kemahiran mereka kepada bangsa dan negara.-UTUSAN

Mohd Azizee Hasan
Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (i-GURU)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya