Atasi isu kemiskinan rakyat Malaysia pada usia tua - Utusan Malaysia

Atasi isu kemiskinan rakyat Malaysia pada usia tua

PADA masa ini, terdapat sebanyak 2.4 juta orang penduduk Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas. – GAMBAR HIASAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEMISKINAN pada usia tua ialah satu isu serius yang perlu diberikan keutamaan segera dalam perancangan dasar negara dan pengerahan sumber.

Populasi warga emas (berumur 60 tahun dan ke atas) pada masa sekarang adalah 4.1 juta orang. Ini merupakan 12.5 peratus daripada jumlah warganegara kita. Adalah diramalkan bahawa angka ini akan mencecah 5.3 juta orang (15.3 peratus) menjelang 2030 dan tujuh juta orang (20 peratus) pada 2040.

Dianggarkan bahawa 2.3 juta orang atau 56 peratus daripada warga emas di negara kita pada masa ini tidak dilindungi oleh skim pencen kerajaan atau swasta dan/atau skim insurans. Mereka memerlukan bantuan pendapatan bulanan.

Pencen bulanan akan membantu dalam menangani cabaran harian yang dihadapi oleh kumpulan warga emas ini dan memastikan mereka hidup secara bermaruah.

Oleh itu, kerajaan diseru untuk melaksanakan Skim Pencen Warga Emas yang melindungi semua penduduk Malaysia berumur 65 tahun dan ke atas yang tidak menerima apa-apa pencen kerajaan atau swasta. Cadangannya ialah setiap orang yang layak patut dibayar dengan pencen RM500 sebulan.

Pada masa ini, terdapat sebanyak 2.4 juta orang penduduk Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas. Lebih kurang 25 peratus daripadanya ialah penerima pencen kerajaan.

Skim yang diusulkan ini akan memanfaatkan 1.8 juta orang warga emas dan akan menelan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM10.8 bilion setahun (1.8 juta orang X RM500 X 12 bulan).

Skim sebegini akan meningkatkan kualiti hidup warga emas kita dengan hebatnya dan membolehkan mereka untuk menjalani usia tua dengan lebih bermaruah.

Ia juga akan mengurangkan beban kewangan yang sedang ditanggung oleh anak-anak mereka. Penyuntikan RM10.8 bilion ke dalam ekonomi negara kita akan meningkatkan pendapatan peniaga-peniaga kecil di Malaysia.

Negara kita mampu melaksanakan skim ini kerana jumlah belanjawan Malays25ia pada 2023 ialah RM390 bilion. RM11 bilion hanya 2.8 peratus daripada jumlah keseluruhan belanjawan.

Kerajaan boleh menjimatkan sebanyak RM17 bilion sekiranya tidak memberi subsidi bahan api kepada golongan berpendapatan tinggi (T20). Dianggarkan juga sebanyak RM10 bilion boleh dijimatkan sekiranya sistem perolehan kerajaan diperketatkan.

Untuk jangka masa panjang, kerajaan perlu mewujudkan dana seperti Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk sistem perlindungan sosial seperti ini.

Dana KWAP telah meningkat daripada geran awal kerajaan sebanyak RM500 juta pada 1991 kepada RM42 bilion pada 2007 dan kepada RM159 bilion pada penghujung 2021.

Untuk memulakan sebuah dana baharu, sebahagian keuntungan yang diperoleh oleh Petronas dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain perlu diperuntukkan bagi tujuan ini.

Adalah tidak berguna kita hanya sekadar bercakap tentang membina sebuah masyarakat yang penyayang dan inklusif. Kita perlu mewujudkan skim-skim dan program-program yang menjadikan hasrat-hasrat ini satu kenyataan.

Skim Pencen Warga Emas akan menjadi pelengkap yang amat dialu-alukan dan dihargai sebagai jaringan perlindungan sosial di Malaysia. – UTUSAN

DR. JEYAKUMAR DEVARAJ, Bekas Ahli Parlimen Sungai Siput

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya