Apa masalah sesi sekolah mula Mac? - Utusan Malaysia

Apa masalah sesi sekolah mula Mac?

TIDAK ada sebab konkrit mengapa permulaan sesi persekolahan harus dikembalikan ke awal tahun. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan bahawa secara prinsipnya Kementerian Pendidikan bersetuju mengembalikan sesi persekolahan dari Mac ke Januari.

Ramai dalam kalangan kita menyambut baik perkara ini. Ada juga tertanya-tanya, apa masalah sebenar berkaitan permulaan sesi persekolahan pada Mac ini, atau adakah ini hanyalah sebuah kenyataan bersifat populis daripada menteri sendiri?

Jika ditinjau lebih lanjut, boleh dikatakan tiada sebab konkrit mengapa permulaan sesi persekolahan harus dikembalikan ke awal tahun.

Yang ada hanya keluh-kesah segelintir individu mengenai kesukaran untuk beradaptasi dan menyesuaikan diri dengan takwim persekolahan baharu ini.

Ada ibu bapa menggesa perubahan permulaan sesi persekolahan ini kerana mereka terkesan dengan pertembungan pembukaan sekolah serta sambutan Ramadan dan Syawal pada waktu sama.

Hal ini memerlukan mereka mengeluarkan belanja lebih banyak. Namun, tanpa mena­fikan beban ibu bapa khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana, kita sedia maklum tarikh Hari Raya Aidil­fitri dan puasa memang berubah-ubah setiap tahun.

Dalam tempoh beberapa tahun sahaja lagi, tarikh itu akan berganjak ke awal tahun. Jadi, mengikut logik ibu bapa ini, permulaan persekolahan pada tahun tersebut perlu ditukar sekali lagi untuk mengelakkan pertembungan serta belanja besar?

Dan kenyataannya juga, tanpa mengira bila sesi persekolahan bermula, mereka tetap harus menyediakan belanja tambahan untuk anak-anak dan ini pastinya memerlukan untuk merancang kewangan keluarga dari awal lagi.

Ada pula mengatakan kesukaran untuk menjelaskan tentang tahun persekolahan anak-anak mereka kepada orang lain berikutan pertukaran sesi persekolahan ini.

Contohnya, anak mereka pada Januari berada di tahun empat tetapi pada Oktober tahun sama berada di tahun lima yang sangat mengundang kekeliruan.

Alasan ini kedengaran sangat dangkal bagi mewajarkan sesi persekolahan kembali dimulakan pada awal tahun.

Adakah ini sebenarnya cuma satu manifestasi keengganan sebahagian daripada kita untuk berubah dan beradaptasi? Terlalu sukarkah bagi kita untuk keluar dari zon selesa daripada hal-hal yang telah terbiasa dilakukan?

Apakah masih mahu terus terbuai dengan nostalgia tentang zaman persekolahan kita dahulu tanpa memikirkan sepantas apa dunia ini sedang berubah dan kesannya kepada anak-anak nanti?

Benar, sesuatu perubahan memang memerlukan masa. Jadi, berilah perubahan permulaan sesi persekolahan ini sedikit masa.

Harus diingat, perubahan ini baru memasuki tahun ketiga pengenalannya dan memang tidak mudah bagi kita untuk melakukannya.

Tapi optimislah bahawa lama-kelamaan, kita akan mula sebati dengan perubahan ini, bak kata peribahasa Melayu, alah bisa tegal biasa.

Dikhuatiri, gesaan demi gesaan untuk mengembalikan permulaan sesi persekolahan ke awal tahun sebenarnya hanya mengajarkan anak-anak kita untuk tidak keluar mendepani cabaran, beradaptasi dan merangkul perubahan.

Kita sebaliknya menegaskan bahawa mereka mesti menuntut dunia untuk berubah mengikut rentak sendiri.

Hal ini tentu sahaja tidak benar dan sebagai orang dewasa, kita semua tahu bukan itu caranya dunia ini berfungsi. Dunia tidak berpaksi kepada apa yang membuatkan kita selesa atau tidak. – UTUSAN

MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya